NORLELA (dua dari kanan) menunjukkan rampasan pokok bonsai dipercayai tidak mempunyai permit import pada sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pelabuhan Utara. FOTO Faiz Anuar
NORLELA (dua dari kanan) menunjukkan rampasan pokok bonsai dipercayai tidak mempunyai permit import pada sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pelabuhan Utara. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain

Pelabuhan Klang: Cuba seludup beribu batang pokok bonsai bernilai RM200,000 dengan mengikrarkannya sebagai pokok hiasan plastik (Ornamental plants).

Taktik digunakan sindiket itu bagaimanapun berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II Selangor susulan pemeriksaan dilakukan kawasan Pelabuhan Utara di sini, 30 Mei lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, pasukannya membuat serbuan dan rampasan membabitkan 2,500 batang pokok bonsai dengan anggaran nilai berjumlah RM200,000.

"Hasil pemeriksaan ke atas kontena itu mendapati pokok bonsai berkenaan tidak mempunyai permit import.

"Siasatan mendapati pihak sindiket membuat pengikraran tidak benar melalui Borang Kastam 4 mendakwa kandungan kontena adalah pokok hiasan plastik.

"Pokok bonsai adalah barang larangan yang mana pengimportannya dibenarkan dengan syarat mempunyai lesen import di bawah Butiran 29 (1), Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya dalam sidang media di Pejabat Kastam Selangor, Pelabuhan Utara di sini, tadi.

Dalam kes berasingan Norlela berkata, pihaknya turut membuat rampasan membabitkan dua kontena mengandungi 2,983 unit kipas jenis (stand fan) dan (air circulation fan), dengan anggaran nilai dan duti/cukai berjumlah RM133,500.

"Pada 9 Mei dan 13 Mei, Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Zon Tengah,Unit II (Selangor) membuat penahanan terhadap dua kontena di Pelabuhan Utara.

"Hasil pemeriksaan ke atas kontena berkenaan menemui sejumlah kipas angin jenis (stand fan) dan (air circulation fan) dipercayai tidak mempunyai sijil kelulusan untuk mengimport.

"Siasatan mendapati, modus operandi pihak sindiket mengimport barang larangan tanpa sijil kelulusan dari Suruhanjaya Tenaga Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kipas angin jenis (stand Fan) dan (air circulatioan fan) adalah barang larangan yang mana pengimportannya dibenarkan dengan syarat mempunyai sijil kelulusan dari Suruhanjaya Tenaga Malaysia.

"Syarat berkenaan dijelaskan di bawah Butiran 3, Bahagian II, Jadual Keempat, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya.

Katanya, kedua-dua kes ini disiasat mengikut Akta Kastam 1967 mengikut Seksyen135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 1:54 PM