CHONG Wei akan ke Armsterdam esok.
CHONG Wei akan ke Armsterdam esok.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih bergantung harap kepada Datuk Lee Chong Wei untuk menyerlah pada kejohanan utama terutama Sukan Olimpik 2016 Rio tetapi dengan syarat perbicaraan di Amsterdam Sabtu ini memihak kepada bekas pemain nombor satu dunia itu.

Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, sebagai pemimpin dalam badan induk itu sudah tentu beliau mahu melihat Chong Wei dapat meneruskan kariernya selepas ini.

“Dengan persediaan yang kita buat termasuk mendapatkan peguam terkenal (Mike Morgan) dalam mengendalikan kes berkaitan sukan, saya yakin dengan apa yang kita buat serta usahakan untuk Chong Wei,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Institut Sukan Negara (ISN) dengan Permanis Sandilands Sdn. Bhd. dan Universiti Curtin Sarawak semalam.

Jelasnya, Panel Pendengaran Doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF) detik penting buat Chong Wei.

“Kami merasakan sudah tentu Chong Wei tertekan sebelum ini dan saya menasihatkannya untuk pergi lebih awal berjumpa dengan Morgan supaya dia puas hati dengan apa yang dilaksanakan dan dilakukan peguam itu.

“Mereka sekarang bekerja sebagai satu pasukan dan diharap dapat bersiap sedia dengan kes pendengaran 11 April ini (Sabtu).

“Saya harap semua rakyat Malaysia dan peminat Chong Wei mendoakan agar kes itu mendapat keputusan positif. Keputusan itu amat penting untuk dia meneruskan cabaran lebih besar khususnya mendapatkan pingat emas Sukan Olimpik,” katanya yang juga Pengerusi ISN.

Kata Norza, beliau yakin Chong Wei berada dalam keadaan baik dan amat bersedia menjelang perbicaraan itu.

“Saya tidak mahu bersikap subjudis (mengganggu proses perbicaraan) kes itu, kita tunggu saja keputusannya nanti. Saya rasa tidak elok untuk saya berbicara mengenai kes itu yang belumpun lagi didengar.”

Kelmarin Chong Wei berlepas ke London bersama Pengurus Besar BAM Kenny Goh untuk berjumpa Morgan sebelum di Amsterdam esok.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London) itu didapati bersalah menggunakan bahan terlarang dexamethansone ketika beraksi di Kejohanan Dunia Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 9:07 AM