Kuala Lumpur: “Saya harap semua bersabar dan mengikut peraturan.”

Itulah yang ditekankan Setiausaha Agung Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Thomas Lund yang enggan mendedahkan tarikh baru Panel Pendengaran Doping dan lokasi perbicaraan terhadap pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Menurutnya, BWF lebih senang menggunakan pendekatan berdiam diri berhubung tarikh baru dan tempat Panel Pendengaran Doping BWF manakala kenyataan hanya akan dikeluarkan apabila perbicaraan itu selesai.

“Kenyataan rasmi mengenai kes ini hanya akan dibuat selepas Panel Pendengaran Doping BWF selesai melakukan siasatan dan membuat keputusan,” kata bekas pemain badminton antarabangsa Denmark itu.

Jelasnya, buat masa ini, mereka tidak boleh memberi sebarang komen mengenai tarikh baru dan tempat perbicaraan kerana tertakluk dengan peraturan badan induk dunia berkenaan.

“Kami tidak boleh komen mengenai perkara ini,” katanya.

Sebelum ini Timbalan Presiden BAM Datuk Mohamad Norza Zakaria mengesahkan mereka meminta BWF menunda tarikh perbicaraan yang sepatutnya diadakan pada 8 Disember kerana memerlukan masa untuk menjalankan siasatan dan ada beberapa perkara yang perlu diteliti.

Norza turut memberitahu sebelum ini perbicaraan itu tidak akan diadakan di Malaysia, sebaliknya di Eropah.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan Panel Pendengaran Doping BWF yang membabitkan Chong Wei akan diadakan di Amsterdam, Belanda.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London) didapati positif mengambil bahan terlarang, dexamethasone ketika beraksi di Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen Ogos lalu.

Peguam terkemuka dalam perbicaraan kes sukan, Mike Morgan akan mewakili Chong Wei dalam usaha untuk memastikan dia mendapat hukuman paling minimum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 6:40 AM