Kuala Lumpur: Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mengambil pendekatan berdiam diri dan menyerahkan semuanya kepada peguam sukan terkemuka, Mike Morgan menjelang Panel Pendengaran Doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Menurutnya, dia tidak boleh membuat sebarang kenyataan berhubung tarikh dan tempat perbicaraan kes membabitkan dirinya yang gagal ujian doping di Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen Ogos lalu.

“Ramai yang menghubungi saya bertanyakan perkara ini, bukan tidak mahu menjawab, tapi saya sendiri pun tidak tahu. Peguam (Mike Morgan) akan menguruskan semuanya,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu lokasi perbicaraan Chong Wei akan diadakan di Amsterdam, Belanda.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, tarikh baru perbicaraan yang sebelum ini ditetapkan BWF pada 8 Disember akan diketahui selewat-lewatnya minggu ini.

Pertukaran tarikh itu diminta BAM bagi membolehkan mereka mempunyai lebih masa untuk melakukan siasatan serta meneliti beberapa perkara.

Pengurus Besar BAM Kenny Goh pula berkata, pihaknya tidak boleh membuat sebarang komen mengenai perkara itu kerana bimbang memberi kesan kepada proses perbicaraan yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Saya tidak boleh komen kerana setiap laporan media mengenai perkara ini dipantau BWF dan saya bimbang akan memberi kesan kepada proses perbicaraan nanti.

“Segala maklumat mengenai kes ini ada pada BWF dan kami masih belum menerima apa-apa maklumat daripada mereka. Lebih elok untuk bertanyakan sendiri kepada wakil mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 6:51 AM