AZEEM  menunjukkan pingat gangsa  dimenanginya di Kazakhstan. FOTO Bernama
AZEEM menunjukkan pingat gangsa dimenanginya di Kazakhstan. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Sepang: "I'm a Teluk Intan boy, saya tak kisah berlari di Sukma (Sukan Malaysia) dan saya sentiasa bangga dapat berlari untuk Perak dan Malaysia biarpun ia kejohanan kecil."

Itu perancangan pemegang rekod 100 meter (m) negara Muhammad Azeem Fahmi yang memilih beraksi di Sukma buat kali ketiga sekiranya rezeki tidak memihak kepadanya beraksi di temasya Olimpik Paris 2024 atas tiket 'wild card'.

Azeem ketika ditemui sekembalinya daripada menyertai Kejohanan Terbuka Kazakhstan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini berkata, dia tidak kisah digelar 'jaguh kampung' kerana baginya dia akan sentiasa berikan yang terbaik di setiap kejohanan disertai.

"Saya tidak terkilan jika tidak mendapat tiket 'wild card' ke Olimpik Paris. Saya juga tak kisah jika ada melabelkan saya sebagai jaguh kampung sekali pun kerana mahu beraksi di Sukma nanti.

"Bagi saya, saya orang Perak, jika orang mahu panggil saya jaguh kampung saya terima. Orang mungkin memandang jaguh kampung sebagai negatif, tapi bagi saya akan ambil sebagai tanda positif.

"Jika orang panggil saya jaguh kampung, ya saya adalah jaguh kampung. Saya adalah 'Teluk Intan boy'," katanya.

Azeem berkata perjalanannya dalam sukan itu masih panjang dan dia akan terus berlari dan berlari untuk memburu impian sehingga Olimpik Los Angeles 2028.

"Jika bercakap tentang Paris bagi saya, saya masih muda kerana saya baru berusia 20 tahun mungkin ada orang sudah lupa tentang itu.

"Jadi, perjalanan saya masih lagi jauh dan banyak lagi peluang saya di masa akan datang. Andai kata saya tidak terpilih ke Olimpik Paris walaupun menggunakan tiket 'wild card' saya sedikitpun tidak akan rasa terkilan atau kecewa.

"Bagi saya, mana-mana pihak buat pilihan mereka akan pilih yang terbaik ke temasya berprestij dunia itu. Apa-apa keputusan saya akan terima dengan hati terbuka.

"Impian saya untuk terus kekal releven dan menjadi terpantas di Malaysia dan kalau saya tak dapat ke Paris, saya akan kekal di Malaysia dan fokus kepada Sukma," katanya yang akan beraksi di Temasya Sukan Universiti Asean (AUG) di Malang, Surabaya, Indonesia selepas ini.

Sukma tahun ini akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos di Sarawak dengan Azeem menyasarkan menyumbangkan dua emas dalam acara 100 dan 200m untuk Perak.

Terdahulu peluang Azeem untuk layak ke Olimpik Paris secara merit berdasarkan kedudukan ranking tidak kesampaian kerana dia kini berkedudukan ranking ke-67 selepas tamatnya Kejohanan di Kazakhstan minggu lalu yang mana untuk layak ke Paris pelari itu perlu berada di kelompok 56 terbaik.

Namun persoalan timbul apabila seorang lagi pelari negara Shereen Samson Vallabouy turut disebut berpeluang meraih tiket wild card itu berdasarkan prestasi semasanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 2:03 PM