BOON Heong (kiri) dan Kien Keat raih emas Sukan Asia  Doha 2006.
BOON Heong (kiri) dan Kien Keat raih emas Sukan Asia Doha 2006.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kisah gembira Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kelmarin selepas mendapat tajaan RM60 juta enam tahun bertukar menjadi duka semalam.

Ini berikutan sindrom pemain meninggalkan BAM terus berlaku dengan kali ini giliran Tan Boon Heong pula membuat keputusan meninggalkan badan induk berkenaan.

Boon Heong, pemain beregu lelaki paling senior BAM dilapor menyerahkan surat berkenaan semalam dan disahkan sendiri Timbalan Presiden Datuk Mohamad Norza Zakaria.

“Saya baru saja diberitahu Pengurus Besar BAM Kenny Goh yang Boong Heong sudah menyerahkan surat meninggalkan BAM,” katanya semalam.

Menurut Norza, beliau masih belum mengetahui secara terperinci kandungan surat itu, tetapi hanya boleh mengesahkan Boon Heong pemain beregu ketiga berbuat demikian tahun ini.

“Saya enggan mengulas lanjut perkara ini selagi belum melihat surat berkenaan,” kata Norza yang juga Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN).

Sebelum Boon Heong, 27, dua lagi pemain beregu lelaki, Hoon Thien How dan Lim Khim Wah mengambil tindakan sama atas alasan tidak mampu pergi jauh dalam arena badminton.

Boon Heong membentuk gandingan baik bersama seorang lagi bekas pemain BAM Koo Kien Keat apabila meraih pingat emas Sukan Asia 2006 Doha serta muncul juara Seluruh England 2007.

Mereka hampir meraih kejuaraan Kejohanan Dunia pada 2010 sebelum tumpas kepada pasangan China Cai Yun-Fu Haifeng dalam perlawanan akhir.

Pemain kelahiran Alor Setar itu tidak hadir pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara BAM dengan penaja baru, Victor kelmarin di ibu pejabat BAM, Stadium Juara, Bukit Kiara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 9:02 AM