Kuala Lumpur: Jurulatih beregu lelaki negara Pang Cheh Chang (gambar) menghormati keputusan Tan Boon Heong untuk keluar daripada naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Cheh Chang berkata, Boon Heong sudah banyak berkorban untuk negara dan beliau amat mengenali pemain itu kerana mula melatihnya sejak dia berusia 16 tahun serta masih belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

“Sebagai jurulatih, saya hormati keputusannya, saya rasa perkara sama seperti Koo Kean Keat sebelum ini, di mana mereka mempunyai sebab tersendiri untuk berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, tidak kira di mana Boon Heong beraksi selepas ini, pemain kelahiran Alor Setar itu masih lagi membawa nama Malaysia.

“Tidak kira dia akan berpasangan dengan siapa selepas ini, dia tetap seorang pemain profesional yang datang dari Malaysia. Bagi saya, itulah yang paling penting.

“Dia tidak memberitahu saya sebab sebenar mengapa dia meninggalkan BAM, tetapi pada peringkat umur seperti ini mungkin dia sudah bijak mengatur masa depan, karier serta kehidupannya,” kata Cheh Chang.

Beliau berkata, ketika ini bukanlah masa tepat untuk menuding jari menyalahkan individu tertentu sebaliknya semua pihak perlu menerima hakikat pemergian pemain adalah perkara biasa dan ia turut pernah dilalui Cheah Soon Kit-Yap Kim Hok, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang juga pergi meninggalkan BAM.

“Situasi ini juga bagus buat pemain baru untuk melihat bagaimana senior mereka memikul tanggungjawab. Sudah berapa lama senior mereka mempertahankan maruah Malaysia.

“Mereka boleh belajar dari situ, sama ada mereka beraksi bagus atau tidak, mereka masih lagi memikul tanggungjawab. Apa yang berlaku ini bukan bermaksud mereka tidak menghormati sesiapa,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Tambahnya, apa yang berlaku sekarang mungkin satu budaya baru dalam sukan badminton apabila pemain profesional mampu untuk berjaya seperti dilakukan beberapa pemain Indonesia dan Eropah.

Selepas Hoon Thien How dan Lim Khim Wah, kelmarin tiba giliran Boon Heong untuk menyerahkan surat meninggalkan BAM dan ia disahkan sendiri oleh Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Dalam akaun laman sosial Facebook milik Boon Heong, dia tampil mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat badminton di Malaysia, rakan sepasukan dan barisan jurulatih yang sentiasa memberi sokongan kepadanya sepanjang 12 tahun berkhidmat untuk negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 9:58 AM