BOON Heong (kanan) bersama Kumpulan Boro. FOTO IG fadbocey
BOON Heong (kanan) bersama Kumpulan Boro. FOTO IG fadbocey
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Bekas bintang beregu lelaki negara Tan Boon Heong yang terkenal dengan frasa "jangan ganjiong" atau bermaksud "jangan gementar" berjaya menunjukkan bakatnya sebagai pelakon komedi.

Boon Heong, 34, mewakili pasukan Boro yang turut disertai pelawak Fad Bocey, Achey dan Atu pada minggu keenam pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) di saluran Astro Warna Jumaat lalu.

Fad menerusi laman Instagramnya menulis: "Kejadian semalam, minggu ke-6... aku tak terfikir si "Jangan Ganjiong" ni masuk air sampai macam ini. Tq brotha @tanboonheong7 sudi bersama-sama dengan #boromlm21."

Kumpulan Boro mendapat markah kedua tertinggi daripada tujuh kumpulan yang bertanding.

Minggu keenam yang juga minggu tema Oppo bersama tetamu jemputan istimewa terdiri daripada atlet dan bekas atlet negara mendapat pujian penonton MLM 2021.

Rata-rata yang meninggalkan komen di media sosial tidak menyangka atlet negara mampu berlawak dan 'sporting' membawa watak yang diberikan.

Selain Boon Heong, turut memeriahkan sketsa setiap kumpulan adalah Khalid Jamlus (bola sepak), Sazali Samad (bina badan), Niena Azman (futsal), Roslin Hashim (badminton), Mohd Al-Jufferi Jamari (silat) dan Yeoh Pek Xian (bola jaring).

Boon Heong, yang pernah menduduki ranking nombor satu dunia bersama Koo Kien Keat pada 2007, sebelum ini menjadi pengulas jemputan di saluran Astro Arena ketika temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 5:22 PM