BOON Heong (kiri) sudah bergandingan bersama Kien Keat sejak remaja.
BOON Heong (kiri) sudah bergandingan bersama Kien Keat sejak remaja.

Kuala Lumpur: Bekas beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Koo Kien Keat-Tan Boon Heong berada dalam keadaan gementar dan tertekan untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio selepas kedua-duanya menjadi pemain bebas.

Menurut Boon Heong, buat masa sekarang mereka dalam perancangan mencari penaja dan beraksi di kejohanan antarabangsa sebanyak mungkin bagi memperoleh mata seterusnya mara ke temasya yang dianjurkan empat tahun sekali itu.

“Memang sekarang saya kembali bergandingan dengan Kien Keat, kami tidak terikat dengan mana-mana kelab tapi secara persendirian dan profesional.

“Mungkin kami akan berlatih dengan dua lagi bekas pemain BAM Hoon Thien How-Lim Khim Wah,” katanya ketika ditemui di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Jelasnya, dia sudah lama bergandingan dengan Kien Keat sejak dari remaja hingga menjadi antara beregu terbaik dunia dan kini kembali bergabung untuk ke Sukan Olimpik buat kali ketiga selepas Beijing (2008) dan London (2012).

“Kami akan cuba mengambil bahagian sebanyak mungkin kejohanan dan kini juga saya sudah mula mempersiapkan diri apabila berlatih di gimnasium dan gelanggang bersama Kien Keat serta beberapa lagi bekas pemain negara seperti Lee Wan Wah.

“Masa semakin suntuk untuk layak ke Olimpik. Kejohanan pertama mungkin Siri Super Terbuka Australia bulan depan, tapi kami sekarang juga berasa kurang yakin untuk layak,” katanya yang meninggalkan BAM bulan lalu.

Boon Heong yang masih mempunyai kontrak dengan Yonex hingga 2018, mengakui perlu menghadapi apa saja cabaran selepas menjadi pemain bebas dan dia juga tidak janggal untuk memulakan mana-mana kejohanan di peringkat kelayakan kerana sudah menghadapinya sebelum ini.

“Tidak mungkin mampu mengulangi pencapaian seperti dulu, tapi kami akan cuba sebaik mungkin. Kami tidak fikir untuk menjadi gandingan nombor satu Malaysia, cukup sekadar mewakili negara dan tolong BAM kerana susah jika hanya ada satu pasangan untuk menentang Denmark, Indonesia dan China,” katanya yang kini menduduki ranking ke-222 bersama Kien Keat.

Ditanya mengenai prestasi beregu lelaki pada Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2015, pemain kelahiran Kedah itu berkata, gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong masih baru dan belum mendapat rentak namun mampu menjadi juara pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:20 AM