BOON Heong (kanan) antara pemain terbaik BAM.
BOON Heong (kanan) antara pemain terbaik BAM.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Selepas Hoon Thien How serta Lim Khim Wah meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), ketua jurulatih beregu negara Jeremy Gan berharap barisan pemain lain termasuk Tan Boon Heong tidak mengikut langkah sama.

Jeremy berkata, Boon Heong sememangnya seorang pemain bagus dan amat diperlukan BAM untuk menghadapi saingan mencabar selepas ini.

“Saya harap dia boleh fikir semasak-masaknya kerana BAM memerlukan khidmatnya.

“Kita akan menghadapi banyak kejohanan selepas ini termasuk Piala Sudirman. Kejohanan besar sememangnya memerlukan khidmatnya.

“Sekali lagi saya harap dia boleh fikir betul-betul,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Kenyataan Jeremy itu nyata berbeza dengan pendirian badan induk itu sebelum ini yang menyatakan isu pemain keluar daripada BAM bukan baru atau pelik.

Boon Heong pula baru-baru ini dilaporkan seolah-olah sudah tawar hati untuk bernaung di bawah badan induk itu selepas menyaksikan beberapa rakannya, termasuk Thien How iaitu rakan gandingannya keluar meninggalkan BAM.

Bagaimanapun dia tidak menyatakan dengan jelas mengenainya, sebaliknya menegaskan akan terus menjalani latihan seperti biasa.

Ini kali kedua Boon Heong kehilangan rakan gandingan apabila Koo Kien Keat membuat keputusan meninggalkan BAM tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 6:39 AM