GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis merekodkan jumlah kerugian membabitkan kes jenayah komersial mencatatkan peningkatan sebanyak 83 peratus iaitu RM1.2 bilion setakat 7 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, angka pada minggu ke 27 ini merekodkan nilai kerugian tertinggi berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

"Statistik mencatatkan angka kerugian bagi kes jenayah komersial telah mencecah RM1,207,620,852.73 bagi tahun 2024.

"Jumlah ini sekaligus merekodkan peningkatan ketara jika dibandingkan dengan RM660 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, peningkatan ini susulan daripada jumlah kes yang telah mencatatkan kenaikan.

"Sebanyak 15,500 kes jenayah komersial telah direkodkan bersamaan dengan purata 65 kes sehari bagi tempoh sehingga 7 Julai pada tahun ini.

"Secara perbandingan, jumlah kes meningkat 34 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 11,546 kes," katanya.

Ramli berkata, peningkatan ini cabaran yang menuntut komitmen tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya JSJK dalam memerangi jenayah berkenaan.

Katanya, sehingga kini, ia dapat ditangani dengan baik apabila sebanyak 5,559 kertas siasatan yang berjaya dituduh pada tahun ini.

"Kadar pertuduhan ini malahan lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 2,218 pertuduhan.

"Peningkatan kes jenayah komersial ini turut memerlukan kerjasama komitmen bersama dengan masyarakat khususnya dari aspek pencegahan," katanya.

Tambah Ramli, PDRM menyeru pembabitan setiap lapisan masyarakat untuk sentiasa cakna dengan pelbagai taktik terkini jenayah berkenaan untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

"Selain itu, masyarakat turut dituntut agar mengambil bahagian dalam pelbagai usaha pencegahan jenayah komersial yang sedang dijalankan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 2:12 PM