GAN (kanan) punyai perancangan tersendiri.
GAN (kanan) punyai perancangan tersendiri.

Kuala Lumpur: Ketua Jurulatih beregu negara, Jeremy Gan enggan menekan butang panik walaupun kehilangan dua pemain, Hoon Thien How dan Lim Khim Wah yang mengambil tindakan keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ini kerana beliau sudah mempunyai perancangan tertentu untuk memantapkan kembali skuad beregu lelaki negara dengan memanggil beberapa pemain pelapis.

“Kita sudah minta untuk menyerapkan pemain seperti Teo Kok Siang, Chooi Kah Ming, Tan Wee Gieen dan Teo Ee Yi bagi memantapkan semula skuad beregu lelaki,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelasnya, sama ada keempat-empat pemain itu bersedia atau tidak ia bukan menjadi alasan kerana bukan senang untuk mempersiapkan serta mengukuhkan kembali rangkaian beregu lelaki negara.

“Mereka juga sudah diberikan banyak peluang beraksi di peringkat antarabangsa. Kita akan tengok macam mana untuk menyiapkan mereka.

“Saya akan bincang dengan jurulatih lain sebelum membuat keputusan mengenai gandingan pemain,” katanya.

Kata Jeremy, pemain meninggalkan BAM dengan alasan sendiri dan beliau tidak boleh menghalang atau mengarahkan mereka untuk kembali.

“Apa yang penting, mereka ada arah tuju apabila keluar nanti. Saya tidak mahu mereka keluar tetapi prestasi kita kurang bagus seperti sebelum ini.

“Mereka harus membuat keputusan yang cepat dan mesti ada arah tuju,” katanya.

Thien How dan Khim Wah mengambil keputusan untuk meninggalkan BAM selepas menghantar surat kepada pihak pengurusan Rabu lalu dengan alasan mereka merasakan tidak mampu untuk pergi lebih jauh dalam badminton.

Sekarang ini hanya tinggal empat pemain senior dalam skuad berkenaan iaitu Tan Boon Heong, Tan Wee Kiong, Goh V Shem dan Ow Yao Han.

Bagaimanapun, timbul khabar angin mengatakan Boon Heong juga akan mengikut jejak langkah Thien How dan Khim Wah.

Khabar angin itu seolah-olah bakal berlaku apabila Datuk Lee Chong Wei memberitahu media kelmarin bahawa lebih ramai lagi pemain bakal meninggalkan BAM selepas ini disebabkan masalah pengurusan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:09 AM