TOPENG muka realistik diperbuat daripada silikon kini menimbulkan kebimbangan mengenai aspek penggunaannya di China, berikutan peningkatan aktiviti jenayah menggunakan topeng itu. FOTO Agensi
TOPENG muka realistik diperbuat daripada silikon kini menimbulkan kebimbangan mengenai aspek penggunaannya di China, berikutan peningkatan aktiviti jenayah menggunakan topeng itu. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Topeng muka realistik diperbuat daripada silikon kini menimbulkan kebimbangan mengenai aspek penggunaannya di China, berikutan peningkatan aktiviti jenayah menggunakan topeng itu.

Oddity Central melaporkan siri kecurian yang membabitkan penggunaan topeng muka silikon ultra-realistik mencetuskan perdebatan mengenai produk dijual berleluasa itu.

Sekitar Mac lalu, empat rumah di Shanghai dipecah masuk membabitkan pelbagai barangan berharga lebih 100,000 yuan (kira-kira RM64,384) dicuri.

Suspek utama dikenal pasti polis adalah lelaki berusia 40 tahun dan memiliki topeng silikon yang digunakannya untuk menyamar sebagai lelaki warga emas ketika melakukan jenayah itu.

Bulan lalu pula, polis yang menyiasat beberapa siri pecah rumah di Wilayah Jiangsu mengenal pasti seorang lelaki yang menyamar sebagai pekerja elektrik menggunakan topeng realistik bagi meminimumkan risiko dikenal pasti.

Itu hanyalah dua contoh trend yang semakin meningkat di China dan pakar memberi amaran boleh membawa kepada peningkatan jenayah, melainkan penjualan topeng silikon realistik dikawal.

"Membuat topeng tidak salah. Kuncinya adalah dalam mengawal penggunaannya. Pihak berkuasa yang berkaitan harus menilai berkaitan topeng muka silikon realistik ini," kata peguam Liu Jiong dari Universiti Xiamen kepada Legal Daily.

Masalah utama dengan topeng silikon di China ialah ketersediaannya yang meluas melalui penjual dalam talian yang berusaha keras untuk memastikan topeng itu bersaiz khusus seperti diminta oleh pembeli dan serealistik mungkin.

Sesetengah perniagaan di platform seperti Taobao menjual topeng silikon mirip dengan selebriti, ada peniaga lain menerima hampir sebarang pesanan asalkan pelanggan boleh memberikan semua butiran yang diperlukan untuk penciptaan topeng, seperti foto, ukuran dan juga imbasan 3D.

"Selepas anda membuat pesanan, kami akan mengarahkan anda ke tempat pengimbasan 3D tempatan. Jika anda tidak boleh pergi, sediakan foto, ukuran kepala dan imej muka 360 darjah," seorang penjual dalam talian menjelaskan kepada bakal pelanggan.

Memanglah tidak semua orang membeli topeng silikon ultra-realistik untuk melakukan jenayah.

Sesetengah orang hanya mahu bermain-main dengan topeng selebriti kegemaran mereka, mempermainkan rakan atau hanya ingin tahu.

Tetapi majalah China Shine menulis bahawa tawaran yang lebih mahal dalam pasaran khusus ini selalunya dibeli untuk tujuan yang sangat khusus, seperti membuka kunci telefon pasangan dengan pengecaman muka atau memintas sistem pengecaman muka di tempat kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 3:19 PM