KIM Hock pernah menjadi ketua jurulatih BAM selama empat tahun.
KIM Hock pernah menjadi ketua jurulatih BAM selama empat tahun.
Helmi Talkah


BEKAS ketua jurulatih badminton negara Yap Kim Hock mengakui berminat untuk kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) andai badan induk itu berhasrat untuk mendapatkan khidmatnya.

BAM ketika ini sedang mencari jurulatih beregu lelaki baru bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Jeremy Gan selepas beliau membuat keputusan meletak jawatan dengan notis tiga bulan, Sabtu lalu.

Tanggungjawab mencari pengganti Jeremy diberikan kepada ketua jurulatih beregu lelaki Cheah Soon Kit dan nama Kim Hock dikaitkan untuk kembali membentuk kombinasi bersama bekas pasangannya itu.

“Kalau tanya saya sama ada mahu kembali ke BAM atau tidak, saya memang berminat. Saya memang sudah bersedia dan bila-bila masa saja boleh kembali.

“Namun, keputusan di tangan BAM sama ada mereka mahukan khidmat saya atau tidak. Saya percaya saya masih mampu untuk menyumbangkan sesuatu bagi meningkatkan prestasi pemain beregu lelaki negara,” Kim Hock ketika dihubungi, hari ini.

Kim Hock pernah memikul tugas sebagai ketua jurulatih BAM selama empat tahun hingga 2008. Selepas itu beliau ditukarkan melatih pemain remaja di Sekolah Sukan Bukit Jalil selama empat tahun hingga 2012.

Ketika bersama BAM, Kim Hock sebagai ketua jurulatih dan jurulatih beregu lelaki, Rexy Mainaky yang bertanggungjawab menggandingkan pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2006.

Hasil idea itu menyaksikan Kien Keat-Boon Heong berjaya memenangi beberapa gelaran utama termasuk pingat emas Sukan Asia 2006 di Doha dan Seluruh England 2007.

Ditanya adakah beliau dihubungi oleh Soon Kit atau wakil BAM untuk menawarkannya tugas di badan induk itu, Kim Hock bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Kim Hock ketika ini menggalas tugas sebagai ketua jurulatih Kelab Badminton Petaling.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 2:51 PM