ASYRAF Wajdi (tengah) bersama kepimpinan dan perwakilan UMNO Bahagian Taiping, hari ini. FOTO Muhammad Lokman Khairi
ASYRAF Wajdi (tengah) bersama kepimpinan dan perwakilan UMNO Bahagian Taiping, hari ini. FOTO Muhammad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Taiping: Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menempelak cadangan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu Tan Sri Noh Omar supaya Umno bergabung dengan Bersatu bagi menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) bersama Pas.

Asyraf dalam nada sinikal mempersoalkan kapasiti bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor yang baru-baru ini mengesahkan dirinya menyertai Bersatu.

"Tan Sri Noh Omar ahli Umno ke?" soalnya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Taiping, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie.

Terdahulu, Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang dilaporkan berkata, Umno tidak boleh bersendirian untuk kekal relevan, lantas mencadangkan agar MN dihidupkan semula agar Umno boleh terus memperjuangkan nasib bangsa dan negara.

Untuk rekod, Noh dipecat daripada Umno pada Januari tahun lalu atas dakwaan melakukan sabotaj parti pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam perkembangan berasingan, Asyraf yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan menafikan kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap bukan berpunca akibat akar umbi Barisan Nasional (BN) dan PH tidak serasi.

Namun, katanya, beliau percaya ahli kedua-dua parti masih dalam proses membina kesefahaman kerana menyedari kestabilan politik lebih penting demi kesejahteraan rakyat dan keutuhan negara.

"Dalam konteks Kerajaan Perpaduan ni pun sama juga... untuk parti-parti yang dulunya berseteru, tetapi apabila ditakdirkan bersama, ia akan ambil masa.

"Kita (Umno) ambil pengalaman 13 bulan adakan program dan sebagainya untuk mewujudkan persefahaman dengan Pas secara 'natural' di peringkat akar umbi, sebelum kita tamatkan MN dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 3:27 PM