MOHAMAD Sabu.
MOHAMAD Sabu.
BERNAMA

Kota Belud: Program Gelombang Padi Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di Sabah berjaya meningkatkan penghasilan padi sebanyak 50 peratus iaitu 2.8 tan kepada 4.22 tan di kawasan sawah terbabit.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata program itu antaranya membabitkan 16 peserta di Taun Gusi Peninting di sini yang melaksanakan penanaman pada musim kali ini di kawasan sawah seluas 17 hektar.

Beliau berkata Smart SBB juga menarik minat sebuah kilang tempatan iaitu Kilang Padi Sri Sino Sdn Bhd yang menyasarkan keluasan keseluruhan 100 hektar kawasan sawah bagi program itu.

"Program ini membuktikan komitmen Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam memastikan keselamatan dan keterjaminan bekalan makanan negara khususnya di Sabah sentiasa mencukupi dan berdaya tahan.

"Selain itu ia juga bertujuan mempromosi kelestarian amalan pertanian dalam penghasilan padi bermula di Jelapang Padi Sabah sebagai contoh terbaik kepada kawasan penanaman yang lain," katanya berucap melawat kawasan projek Smart SBB di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup.

Mohamad berkata KPKM juga sedang berusaha merealisasikan tiga projek di Kota Belud membabitkan sistem pengairan dan saliran lebih mampan kepada kawasan penanaman padi seluas 2,100 hektar dengan peruntukan RM66.87 juta.

Beliau berkata bagi menggalakkan produktiviti penanaman padi, kerajaan juga telah menyeragamkan harga lantai belian padi di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung iaitu RM1,300 pada Februari lalu.

"Ini bukan saja mampu menyokong industri padi dan beras di Sabah dan Sarawak supaya terus kekal mampan dan berdaya saing, malah berupaya membantu menambah pendapatan pesawah sekali gus menggalakkan mereka untuk meningkatkan pengeluaran," katanya.

Mohamad berkata pada Oktober tahun lalu, kerajaan mengambil langkah proaktif untuk mengimbangi bekalan dan harga beras di Sabah, Sarawak dan Labuan dengan memberi subsidi RM950 setiap tan pada harga borong bagi Beras Putih Import (BPI).

"Ia memberi kesan positif kepada harga pasaran runcit BPI sekitar RM28 hingga RM30 bagi sekampit 10 kilogram di Sabah, Sarawak dan Labuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 3:38 PM