Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu negara, Jeremy Gan sudah mempunyai perancangan tersendiri dalam memilih pemain bakal digandingkan dengan Tan Boon Heong (gambar) untuk menempuh musim 2015.

Biarpun menyedari barisan pemain beregu yang semakin berkurangan apabila hanya tinggal empat pemain senior dalam skuad berkenaan iaitu Boon Heong, Tan Wee Kiong, Goh V Shem dan Ow Yao Han, Jeremy berkata, beliau akan cuba menggunakan pendekatan untuk menggandingkan Yao Han bersama Boon Heong.

Bagaimanapun belum ada sebarang keputusan rasmi dibuat dan keserasian pasangan itu akan dinilai terlebih dulu.

Mengakui kemampuan dimiliki Boon Heong dan tidak menafikan pemain senior itu mungkin mempunyai kemahuan tersendiri, Jeremy berkata beliau akan berbincang terlebih dulu dengan pemenang pingat emas Sukan Asia 2010 itu.

“Belum ada sebarang keputusan dibuat namun keputusan menggandingkan Yao Han-Boon Heong itu yang terbaik kerana Tan Wee Kiong-Goh V Shem sudah bagus.

“Apapun keberkesanan gandingan itu akan dicuba terlebih dulu sebelum diputuskan, cuma sekarang kita tunggu saja,” katanya.

Boon Heong kehilangan rakan gandingan apabila Hoon Thien How dan Lim Khim Wah mengambil tindakan keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ini kali kedua Boon Heong kehilangan rakan gandingan apabila Koo Kien Keat membuat keputusan meninggalkan BAM tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 7:00 AM