KETIADAAN Khim Wah (belakang) jejas persiapan BAM hadapi kejohanan besar.
KETIADAAN Khim Wah (belakang) jejas persiapan BAM hadapi kejohanan besar.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pemain lari dilihat semakin sinonim dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), tetapi kali ini lebih dahsyat apabila membabitkan pemain beregu lelaki senior Hoon Thien How dan Lim Khim Wah.

Perkara ini disahkan Pengurus Besar BAM Kenny Goh yang menyatakan kedua-dua pemain berkenaan menyerahkan surat meninggalkan badan induk itu kelmarin.

“Mereka sudah menghantar surat meninggalkan BAM kepada pengurusan kelmarin,” kata Kenny.

Lebih menarik kelmarin juga berlangsungnya Mesyuarat Exco di ibu pejabat BAM, Stadium Juara, Bukit Kiara dan juga pengumuman kenaikan elaun pemain.

Ujar Kenny, kedua-dua pemain memberi alasan tidak mampu untuk pergi jauh lagi dalam arena badminton.

“Mereka menjelaskan ini masa tepat untuk mengundurkan diri dan memikirkan masa depan masing-masing,” katanya.

Tindakan ini bukan saja mengejutkan BAM malah memeningkan kepala ketua jurulatih beregu, Jeremy Gan dan jurulatih beregu lelaki Pang Cheh Chang menjelang beberapa kejohanan besar serta mencari mata melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio.

Thien How kini berpasangan dengan Tan Boon Heong yang bergelut masalah kecederaan manakala Khim Wah pula bergandingan dengan pemain muda, Ow Yao Han.

Kini BAM hanya boleh bersandarkan kepada gandingan utama Goh V Shem-Tan Wee Kiong, itupun jika salah seorang daripada mereka tidak mengalami kecederaan teruk.

Persiapan menjelang saingan Piala Sudirman di Dongguan dari 10 hingga 17 Mei serta Sukan SEA 2015 Singapura (Jun) sudah pasti sedikit terjejas.

Kedua-dua pemain mempunyai rekod cemerlang ketika remaja dengan Thien How pernah meraih juara beregu lelaki Kejohanan Remaja Dunia bersama Boon Heong pada 2004 di Kanada.

Khim Wah pula pernah meraih kejuaraan beregu campuran remaja dunia bersama Ng Hui Lin di New Zealand (2007).

Sebelum ini BAM kehilangan beberapa pemain yang mengambil keputusan meninggalkan badan induk berkenaan sejak Disember dan Januari lalu atas alasan berbeza.

Pemain berkenaan ialah Ng Hui Lin dan Ng Hui Ern (beregu wanita), Ong Jian Guo (beregu campuran) serta Yang Li Lian (perseorangan wanita).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 10:02 AM