SKUAD negara mempunyai satu lagi baki perlawanan bertemu India, esok. FOTO IHSAN MHC
SKUAD negara mempunyai satu lagi baki perlawanan bertemu India, esok. FOTO IHSAN MHC
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh anak buahnya meskipun tewas 0-5 kepada Belanda dalam perlawanan persahabatan siri jelajah Eropah semalam.

Jelasnya, pemain yang diturunkan dalam perlawanan itu dapat menunjukkan peningkatan yang baik terutama di bahagian pertahanan apabila terdapat perubahan positif berbanding perlawanan sebelum ini.

Katanya, pemain juga berjaya memberi tekanan kepada pasukan Belanda untuk tidak membenarkan mereka bermain dengan mudah dalam perlawanan itu.

"Permainan intensiti yang bagus dan perlawanan yang baik untuk semua pemain apabila dapat beraksi dengan pasukan nombor satu dunia. Perlawanan hari ini (semalam) pemain juga berusaha dengan keras dan struktur bertahan yang lebih baik jika dibandingkan ketika bertemu Jerman.

"Pada perlawanan hari ini (semalam) juga ada ketika kami bermain tekanan tinggi dan tidak hanya bertahan," katanya.

Melihat prestasi pasukan semakin meningkat, Sarjit akan mengamalkan corak permainan yang lebih agresif ketika bertemu India dalam perlawanan terakhir yang akan diadakan di Hockey Club Zwolle, Belanda esok.

"Perlawanan terakhir bertemu India, kami akan cuba untuk bermain dengan corak menyerang dan tidak hanya bertahan. Pemain perlu didedahkan dengan corak sebegini dan berharap semua pemain mempunyai keyakinan yang tinggi untuk bermain dengan India," kata Sarjit.

Untuk rekod, kekalahan kepada Belanda semalam menyaksikan skuad kendalian Sarjit sudah mengalami tiga kekalahan daripada enam perlawanan yang diharungi setakat ini. Mereka tewas kepada Belgium B, Jerman dan Belanda namun berjaya mencatat kemenangan ke atas Belgium B dua kali dan Kelab Hoki Monchengladbach.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 3:49 PM