CHONG WEI bakal beraksi di Liga Badminton Premier India Januari depan.
CHONG WEI bakal beraksi di Liga Badminton Premier India Januari depan.

New Delhi: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menjadi pemain rebutan utama dalam lelongan bagi Liga Badminton Premier India yang berprestij.

Lelongan itu berkesudahan dengan pasukan Hyderabad Hunters memperoleh khidmat Chong Wei pada harga AS$100,000 (kira-kira RM420,000) untuk menghadapi pusingan awal kejohanan itu di Mumbai yang berlangsung mulai 2 hingga 17 Januari.

Pemain nombor dua dunia dari India Saina Nehwal akan bermain untuk Awadh Warriors dari Lucknow selepas pemberi francais membayar AS$100,000 (kira-kira RM420,000) untuk khidmatnya.

Persatuan Badminton India (BAI) menganjurkan liga itu selepas mengadakannya untuk kali pertama pada 2013 yang menarik penyertaan banyak pemain terkemuka dunia.

PBL 2016 membabitkan enam francais dengan setiap francais menjadi hos bagi liga dua hari.

Pasukan yang mengambil bahagian adalah Delhi Acers, Hyderbad Hunters, Mumbai Rockets, Awadhe Warriors, Bengaluru Topguns dan Chennai Smashers.

Selain Chong Wei, dua beregu Malaysia juga akan menyertai kejohanan dua minggu ini.

Lim Khim Wah dan Hoon Thien How akan bermain untuk Bengaluru Topguns dengan bayaran kira-kira AS$15,000 (kira-kira RM63,000) seorang.

Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong pula akan bermain untuk Hyderabad Hunters, dengan Kien Keat dibayar AS$36,000 (kira-kira RM151,200) dan Boon Heong AS$30,000 (kira-kira RM126,000). - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 10:30 AM