MUHYIDDIN ketika kehadiran pada Konvensyen Bersatu 2024 di IDCC. FOTO Aswadi Alias
MUHYIDDIN ketika kehadiran pada Konvensyen Bersatu 2024 di IDCC. FOTO Aswadi Alias
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Beberapa ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat senada agar pemilihan yang bakal berlangsung dalam masa terdekat tiadanya pertembungan membabitkan majlis tertinggi parti itu.

Penolong Setiausaha Srikandi, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, perkara itu adalah penting bagi memastikan kestabilan sesebuah parti politik terutamanya Bersatu yang disifatkannya masih muda.

"Kita perlu utamakan keadaan politik hari ini kepada perpaduan dan tidak memberi ruang perpecahan dalaman dalam parti.

"Kita (perlu) lihat tanggungjawab dan tugas untuk membawa hasrat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) yang perlu dijadikan keutamaan.

"Jadi lebih elok kalau kita boleh berbincang kerana kita pasti di situ dapat kita elakkan bibit perpecahan dalam parti itu sendiri," katanya ketika ditemui semasa Konvensyen Bersatu di IDCC Selayang, hari ini.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa ucapannya membayangkan pemilihan Bersatu yang bakal berlangsung dalam masa terdekat berkemungkinan menyaksikan tiadanya pertembungan membabitkan majlis tertinggi parti itu.

Muhyiddin berkata, pihaknya sudah mengadakan rundingan dengan hampir semua pihak bagi mengelakkan pertembungan dan perpecahan dalam parti itu.

Mengulas lanjut, Nolee berpandangan, kepentingan parti itu harus diutamakan dan perbincangan perlu dilakukan bagi mereka yang ingin menawarkan perkhidmatan.

"Kalau boleh mereka berbincang kerana parti ini seperti mana yang saya sebutkan kecil. Kepimpinan nak ditonjolkan itu adalah orang sama.

"Saya rasa perkara ini boleh diselesaikan sekiranya itulah yang terbaik," katanya.

Exco Srikandi, Jawahir Husein pula berpandangan, apa yang dinyatakan Muhyiddin adalah perkara terbaik pada masa ini.

Menurutnya, bagi mengukuhkan parti, perlunya ada sifat tolak-ansur sesama ahli.

"Saya rasa keputusan presiden membuat tindakan begitu adalah satu yang bijak supaya kita tak nak parti kita semakin berpecah.

"Inilah masa yang paling sesuai dengan keadaan kemelut politik negara ini, kita lagi terus bersatu dan dapat memantapkan sokongan.

"Saya rasa pucuk pimpinan juga tidak mempunyai masalah dan akur terhadap apa arahan daripada parti," katanya.

Beliau berkata, keputusan dibuat itu adalah yang terbaik kerana dapat mengelakkan perbalahan, persengketaan atau perasaan negatif antara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 3:53 PM