Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Seorang lelaki maut dipercayai akibat ditikam dengan senjata tajam di bahagian belakang badan hari ini.

Mangsa yang berusia sekitar 30-an ditemukan orang awam di kawasan kaki lima sebuah perhentian bas di Jalan Wakaf Siku di sini, jam 10 pagi tadi selepas terdengar suara meminta tolong.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Seorang saksi yang ingin dikenali sebagai Heri, 29, berkata ketika ingin memasuki premisnya yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi, dia ternampak mangsa di perhentian bas itu dalam keadaan terbaring dan menyangka dia sedang tidur.

"Sebelum ini pun saya pernah melihatnya sedang tidur di situ dan tidak terlintas langsung ada perkara buruk menimpanya.

"Tidak lama kemudian saya didatangi polis yang meminta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk siasatan kejadian itu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Lokasi seorang lelaki maut yang berusia sekitar 30-an dipercayai akibat ditikam dengan senjata tajam. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Lokasi seorang lelaki maut yang berusia sekitar 30-an dipercayai akibat ditikam dengan senjata tajam. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 3:52 PM