FAIZ bersama isteri beliau Nik Aishah Nik Wahab pakai maksot Batman cari rezeki jual makanan di Mayang&Lakeview, Putrajaya FOTO Amirudin Sahib
FAIZ bersama isteri beliau Nik Aishah Nik Wahab pakai maksot Batman cari rezeki jual makanan di Mayang&Lakeview, Putrajaya FOTO Amirudin Sahib
Redzuan Muharam


Putrajaya: "Memang ada pengikut meminta saya membuka topeng untuk melihat wajah sebenar. Namun buat masa ini saya mahu kekal misteri," ujar Faiz Amirul Mustaqim, 32.

Uniknya Faiz Amirul atau dikenali Abang Kelawar dalam kalangan pengikut di TikTok mencipta kelainan apabila tampil dengan imej adiwira kerana memakai sut kostum Batman ketika berniaga

ayam golek perap dan laksa selain makanan bergoreng seperti popia, pisang goreng, keledek goreng, cucur udang dan karipap.

Bercerita lanjut, dia mengakui meminati watak adiwira Batman dan mengambil watak itu sebagai inspirasi.

"Saya mula berniaga gerai di tepi jalan berhampiran Sungai Tangkas, Kajang pada tahun 2019.

"Bulan ini, saya berpindah ke sebuah kiosk di sini, dengan bantuan Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

"Saya tak keseorangan tetapi dibantu isteri, Nik Aishah Nik Wahib, 28. Saya cuba tampil begini (memakai sut kostum) dengan harapan dapat tarik pelanggan untuk singgah membeli.

"Jujurnya memang panas terutama ketika berniaga di tepi jalan. Saya ambil masa dua bulan untuk sesuaikan diri. Kini saya semakin selesa walaupun perlu memakai kostum selama lapan jam iaitu sepanjang waktu berniaga," katanya ketika ditemui Harian Metro di Mayang@Lakeview Putrajaya, di Persiaran Perdana, Presint 4, di sini.

Faiz Amirul berkata, setakat ini, pelanggan beri maklum balas positif malah segelintirnya ajak bergambar sama terutama kanak-kanak ketika singgah di kiosknya.

Bagaimanapun, Faiz Amirul mengakui ada juga cabaran dilalui sepanjang lima tahun mencari rezeki sebagai peniaga kecil.

"Biasalah, tak semua orang suka. Ada juga yang mengetawakan saya.

"Pernah juga satu ketika, ada kenderaan dipandu laju seolah-olah cuba melanggar gerai saya.

Saya anggap itu semua itu sebagai ujian. Apa yang penting saya dapat membesarkan anak (Muhammad Firas) yang kini berumur lima tahun," katanya yang merancang membuka lebih banyak cawangan pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 3:42 PM