Selangor FC. FOTO FB SFC
Selangor FC. FOTO FB SFC
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain Selangor FC diminta tidak melayan cerita-cerita luar mengenai masalah dihadapi Kuala Lumpur City FC (KL City) sebaliknya memberi fokus dan tumpuan menjelang aksi Liga Super itu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, malam esok.

Jelas pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil, KL City adalah sebuah pasukan terkuat dalam liga domestik di mana naib juara Piala AFC 2022 itu memiliki himpunan pemain berkaliber.

"Kita rasa KL City sebuah pasukan sangat baik. Mereka cukup berdiplin dan beberapa pemain yang boleh mengubah perlawanan.

"Mereka ada Paulo Josue, mereka ada Brendan Gan yang juga bekas ketua pasuka kita. Mereka ada Haqimi Azim di bahagian kanan dan juga penjaga gol Azri Ghani.

"Mereka ini sebuah pasukan yang sangat baik, walaupun ada beberapa pemain yang keluar masuk. Kita kena ketepikan sentimen apa-apa yang kita dengar kerana ini mengenai perlawanan bola sepak. Segala keputusan perlawanan itu ditentukan di padang sahaja," katanya.

Ketika ini, KL City sedang diuji dengan isu tunggakan gaji yang membelenggu pasukan itu dengan rata-rata pemain tidak mendapat gaji sejak awal musim ini.

Ujar Nidzam lagi, beliau menyasarkan untuk meraih kemenangan dalam mengukuhkan kedudukan Red Giants dalam carta Liga Super dengan pasukan itu menduduki tangga kedua liga di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Kita nak bawa mentaliti menang yang sama, sikap yang sama. Saya suka bercakap mengenai sikap kerana sikap akan membawa kita jauh dan selain daripada itu, kita nak ada semangat yang sama.

"Walaupun ia aksi di tempat lawan, kita harap penyokong akan datang ke sana dan cuba untuk penuhkan stadium dan kita cuba dapatkan malam terbaik untuk Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 3:17 PM