AHMAD Zahid Hamidi (dua kanan) beramah mesra bersama pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Zahid Hamidi (dua kanan) beramah mesra bersama pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Barisan Nasional (BN) Kelantan diberi mandat untuk mengumumkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan dengan lebih awal.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat selari dengan cadangan BN Kelantan yang mahu pengumuman dibuat lebih awal.

Beliau berkata, nama calon yang dipilih untuk bertanding pada pilihan raya itu sudah diserahkan kepada Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub untuk diumumkan pada bila-bila masa saja.

Katanya, calon tempatan menjadi taruhan parti itu untuk menawan kembali kerusi DUN berkenaan menerusi tiga nama yang disenaraikan Umno Bahagian Gua Musang untuk diangkat sebagai calon.

"Kami di Biro Politik menerima senarai pendek daripada Ketua Umno Gua Musang yang menyalurkan nama itu kepada Umno Negeri (dan) Biro Politik membuat keputusan.

"Kita menyerahkan nama kepada Datuk Ahmad Jazlan Yaakob untuk buat pengumuman awal (dan) calon yang dipilih itu adalah seorang lelaki," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus di sini hari ini.

Sebelum ini, BN Kelantan mencadangkan supaya nama calon yang akan bertanding dalam PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan diumumkan lebih awal.

Ahmad Jazlan berkata, ia bagi memberi ruang kepada calon yang bertanding untuk turun ke akar umbi berjumpa dengan rakyat dan masyarakat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.

PRK itu diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian Bersatu apabila menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 3:31 PM