ZAFRUL Abdul Aziz. FOTO NSTP
ZAFRUL Abdul Aziz. FOTO NSTP
M Hifzuddin Ikhsan


Sungai Petani: Status Kedah sebagai negeri pembangkang tidak pernah menghalang Kerajaan Persekutuan memilihnya sebagai antara lokasi pelaburan utama di negara ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri penting dalam menarik minat pelabur.

"Saya ingin menegaskan MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) dan percaya di Kabinet bahawa kami tidak melihat negeri di bawah pembangkang seperti Kedah, sebagai penghalang kepada usaha menarik pelaburan.

"Kita mempunyai kerjasama baik dengan kerajaan negeri untuk memastikan semua rakyat Kedah mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara," katanya,

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Merbok, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

Pada masa sama, Tengku Zafrul memaklumkan kejayaan Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech) yang diuruskan Kulim Technology Park Sdn Bhd (KTPC) dalam meningkatkan pelaburan asing di negara ini.

Katanya, Kulim Hi-Tech berjaya menarik minat pelabur kerana kerajaan negeri mempermudahkan urusan pelaburan serta memberi kerjasama baik kepada pihak terbabit.

"Kami baharu mengadakan mesyuarat bersama pengurusan KHTP semalam, dan mereka membentangkan laporan yang baik.

"Bagi suku pertama tahun ini, Kedah menarik pelaburan lebih RM31 bilion, di mana RM30.1 bilion masuk ke KHTP.

"Pelaburan ini dapat direalisasikan kerana pengurusan KHTP yang cemerlang dan hasilnya pelabur berminat melabur di negara ini," katanya.

Berikutan itu, katanya, Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu mempunyai hubungan baik serta melaksanakan setiap dasar pelaburan yang ditetapkan pada masa hadapan.

"Apabila saya tanya kepada pelabur mengapa mereka memilih Malaysia dan KHTP, salah satu sebab kerana mereka perlu kestabilan politik untuk memastikan bahawa kita mempunyai dasar yang betul.

"Dasar yang betul sukar dirangka jika politik tidak stabil. Oleh itu, kestabilan kerajaan penting dan pelabur percaya bahawa kerajaan semasa boleh mempercepatkan proses itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 3:34 PM