Ifa Raziah. FOTO Najiy Jefri
Ifa Raziah. FOTO Najiy Jefri
Najiy Jefri


Kota Bharu: Pengacara Ifa Raziah meminta peminat mendoakan hatinya terbuka untuk terus bertudung.

Ifa ketika ditemui pada majllis Mood Republik, di sini, berkata, niat untuk mengenakan hijab sudah lama terlintas di hati dan berharap satu hari nanti dirinya akan istiqamah.

"Doakan yang baik-baik. Saya memang sudah lama nak tampil berhijab, namun bagi saya apabila sudah bertudung saya perlu bertanggungjawab dalam semua aspek pemakaian," katanya yang tampil bertudung sepanjang majlis itu.

Menurut Ifa, semua berkaitan keputusannya itu nanti berkait rapat dengan keikhlasan hati bukan kerana terikut-ikut atau mahupun perhatian.

"Saya tidak mahu dilabel hipokrit atau mencari publisiti dengan menggunakan agama.

"Biarlah keputusan berhijab hadir secara ikhlas dan diharap berkekalan," katanya.

Sementara itu, seramai 17 artis tanah air yang kini bergelar usahawan berkampung di sini, sejak Khamis lalu bagi berniaga barangan mereka.

Antara yang mengambil bahagian termasuklah Ziana Zain, Fasha Sandha, Fathia Latif, Fahrin Ahmad dan ramai lagi yang turut menggunakan kesempatan itu untuk bertemu peminat.

Ketua Pegawai Eksekutif Mood Republik (MR), Kimi Iskandar Ismail berkata, kesemua artis yang terbabit memberikan komitmen sebagai peniaga dengan sangat baik.

"Kami memang memberikan peluang kepada artis untuk memasarkan produk mereka selain bertemu peminat

"Kesemua artis yang terbabit memang setia dengan MR selain sudah semakin mahir dalam urusan perniagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 5:24 PM