APRENA mengakui sedang belajar berhijab.
APRENA mengakui sedang belajar berhijab.
Najiy Jefri


PENAMPILAN terkini pelakon Aprena Manrose yang dilihat berhijab di akaun Instagram mengundang persoalan ramai.

Enggan merahsiakan perubahan yang dibuat, pemilik nama sebenar, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman mengakui dirinya dalam proses untuk belajar berhijab.

"Ya, saya sedang belajar untuk bertudung.

"Saya mula belajar berhijab sejak Ramadan lalu," katanya.

Bagaimanapun Aprena menjelaskan, dia belum berhijab sepenuhnya dan masih menerima tawaran lakonan tidak berhijab sama seperti dahulu.

"Sebolehnya, saya tidak mahu bercakap apa-apa mengenai perkara ini kerana tidak tahu bagaimana masa depan. Saya masih terima tawaran lakonan yang tidak bertudung sebab memang sudah dijanjikan sebelum ini," katanya.

Tambah Aprena, dia tidak berani untuk meletakkan sebarang sasaran untuk berhijab sepenuhnya namun mengharapkan doa yang baik daripada peminat.

"Soal berhijab kalau boleh saya tidak mahu bercakap apa-apa. Biarlah jika perkara ini berlaku (berhijab sepenuhnya) saya yang akan beritahu sendiri. Mohon semua orang doakan yang baik-baik buat saya," katanya pada sesi sidang media secara virtual sempena naskhah lakonan terbaharunya, Sedingin Salju.

Dalam pada itu, Aprena mendedahkan terdapat lelaki yang mahu mendekati dan berkenalan dengannya kerana beranggapan dirinya masih bujang.

Aprena berkata, dia sebenarnya sudah berkahwin sejak 2016 dengan jejaka pilihan hatinya Mohd Afiq Hazman.

"Bohong kalau saya kata tidak pernah diganggu. Saya ada terima mesej yang bukan-bukan daripada lelaki tidak dikenali. Ramai yang sangka saya belum berkahwin.

"Kalau saya kata sudah berkahwin, mereka (peminat) tidak percaya. Saya sebenarnya pelik apabila ramai yang tidak mempercayai saya sudah berkahwin sedangkan saya sudah banyak kali berkongsi gambar bersama suami.

"Mungkin sebab mereka tidak tahu individu di dalam gambar itu adalah suami saya," katanya.

Aprena memberitahu, dia juga pernah dituduh berperangai tidak senonoh oleh pengikutnya kerana bergambar dan bermesra dengan lelaki sedangkan individu itu adalah suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 6:44 AM