Nora Danish
Nora Danish
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Sebenarnya saya sudah lama pasang niat nak bertudung, tapi belum ada kekuatan itu sebelum ini."

Demikian kata pelakon jelita, Nora Danish mengenai penampilan terbaharunya yang dikatakan sudah berhijab. 

Nora ketika dihubungi Harian Metro bagaimanapun enggan mengesahkan perkara itu, sebaliknya memohon orang ramai mendoakan buat dirinya. 

"Doakan saya kekal istiqamah dengan imej terbaharu ini. Saya rasa lebih tenang dan selesa dengan imej sekarang (bertudung).

"Saya takut nak beritahu sudah bertudung sepenuhnya, sebab saya juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada ujian dan dugaan Allah SWT.

"Apa yang mampu saya kongsikan, doakan yang baik-baik dan semoga perubahan ini memberi kemanisan dalam hidup saya," katanya.

Menurut Nora, sebagai wanita yang mencecah usia 42 tahun, dia ingin memperbaiki diri ke arah lebih baik. 

"Saya buat keputusan ini tanpa desakan atau paksaan sesiapa. Saya sendiri yang memilih untuk berhijab kerana usia saya pun bukan muda lagi.

"Saya percaya setiap wanita yang belum berhijab pun pasti ada keinginan yang sama.

"Apapun terima kasih kepada semua yang mengambil berat dan mendoakan saya," katanya.

Terdahulu Nora mencetuskan tanda tanya melalui hantaran di Instagram apabila tampil berhijab.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 11:41 AM