JIHAN dengan imej barunya. FOTO IG Jihan
JIHAN dengan imej barunya. FOTO IG Jihan
Najiy Jefri


“KUNJUNGAN ke Palu, Indonesia bagi menyertai misi kemanusiaan baru-baru ini antara perkara yang menggerakkan hati saya untuk bertudung,” kata pengacara Jihan Muse yang kini tampil berhijab.

Bagaimanapun, Jihan menjelaskan keinginan untuk berhijab kian membara ketika melihat ramai pengikut di Instagram memuat naik gambar #10yearschallenge.

“Sebenarnya saya sudah lama terdetik nak bertudung tapi macam-macam perkara mengganggu fikiran hingga niat baik itu tertangguh.

“Bagaimanapun, ketika tular gambar #10yearschallenge yang membandingkan gambar 2009 dan 2019, saya mula terfikir untuk berubah.

“Saya mula menyertai industri hiburan pada 2009 menerusi program Raja Lawak dan sudah macam-macam saya buat untuk menghiburkan orang selama 10 tahun ini. Kebetulan, anak saya juga sudah berusia setahun pada Januari lalu.

“Malah, saya juga ada menonton program penghijrahan Mizz Nina. Perkara itu turut buka hati saya untuk muhasabah diri dan berubah menjadi insan yang lebih baik secara perlahan-lahan," katanya.

Menurutnya, dia masih belum ada kekuatan untuk memberitahu dirinya sudah menutup aurat sepenuhnya kerana ia bukan perkara yang boleh dibuat main-main.

"Sebenarnya saya tidak berani membuat kenyataan sudah bertudung sepenuhnya kerana saya tidak tahu apa dugaan yang akan datang.

"Bagaimanapun saya lebih selesa untuk memberitahu saya mula menutup kepala. Saya harap langkah awal ini permulaan yang terbaik buat saya.

"Kalau nak cakap saya sudah menutup aurat, ia terlalu subjektif dan besar. Ini kerana, saya masih mengenakan skaf dan ia bukan cara berhijab yang betul. Apa yang boleh dikatakan, saya sedang belajar untuk menutup rambut," katanya.

Terdahulu penampilan Jihan mengenakan skaf untuk menutup rambutnya sewaktu menjalankan misi kemanusiaan di Palu mendapat perhatian netizen dan ramai mendoakan dirinya terus istiqamah.

Selain Jihan, program Misi Dapur Kaseh Buat Sulawesi itu turut disertai rakan artis Fara Fauzana, Zara Zya serta beberapa sukarelawan bertujuan menyumbangkan bantuan kepada mangsa bencana alam di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 6:03 PM