IFA Raziah mohon diberikan masa untuk berhijrah secara perlahan. FOTO Ihsan Ifa Raziah
IFA Raziah mohon diberikan masa untuk berhijrah secara perlahan. FOTO Ihsan Ifa Raziah
Najiy Jefri


“SAYA belum lagi bertudung penuh. Saya harap netizen tidak cepat menghukum sebab penghijrahan ini satu perkara yang besar,” kata penyanyi dan pengacara Ifa Raziah yang meminta supaya netizen tidak memberi tekanan untuk dirinya segera berubah selepas menunaikan ibadat umrah baru-baru ini.

Ifa yang tiba dari Tanah Suci tiga hari lalu berkata, soal bertudung adalah urusannya dengan Allah SWT dan memohon supaya jangan ada sesiapa mempertikaikan.

“Saya tahu menutup aurat adalah satu tuntutan yang wajib. Namun banyak benda yang perlu saya fikirkan. Ia perlu datang dari hati dan bukan untuk memenuhi permintaan sesiapa.

“Hidayah ini milik Allah dan doakan yang baik supaya urusan ke arah itu dipermudahkan,” katanya.

Menurutnya, dia mohon diberikan masa untuk berhijrah secara perlahan.

“Saya percaya setiap yang berlaku ini pasti bersebab dan sudah tertulis.

“Berhijrah memang mudah, tetapi untuk sentiasa istiqamah itu agak sukar. Jadi saya mohon diberikan masa untuk berubah secara perlahan.

“Janganlah pandang orang belum bertudung ini sebagai individu yang jahat. Perlu diingat netizen yang kuat mengata ini belum tentu Allah pandang,” katanya.

Sementara itu, Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha berkata, dia terpaksa menambah tempoh masa berada di Tanah Suci selama lima hari kerana ‘datang bulan’ ketika hari ketiga berada di Makkah.

"Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Cuma saya diuji apabila ‘datang bulan’ ketika hari ketiga berada di Makkah.

“Sepatutnya saya bersama keluarga berada di sana selama 12 hari. Akhirnya, kami menambah tempoh masa berada di sana selama lima hari lagi.

"Saya juga rasa sangat puas hati apabila dapat menunaikan umrah untuk diri sendiri serta arwah ibu dan bapa,” katanya.

Ifa menunaikan umrah bersama suami, Mohd Yani serta anak lelaki mereka, Muhammad Shakir Aqili.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 4:50 PM