SS tumpang gembira apabila melihat ramai artis wanita tempatan yang tampil berhijab, sekali gus mendalami agama sejak kebelakangan ini.

Memang sejuk mata SS memandang apabila ramai artis wanita yang dulunya seksi dan tampil menjolok mata akhirnya memutuskan untuk bertudung litup dan berpakaian menutup aurat.

Bercakap soal artis berhijab ini, SS dapat tahu ada seorang lagi artis wanita yang khabarnya turut mengikut jejak mereka dengan memilih penampilan berhijab ini.

Namun, kata rakan SS, artis wanita itu khabarnya tidak mahu mengaku mengenai penampilan imej barunya itu apabila ditanya pihak media mahupun peminat.

Apa yang peliknya, kata rakan SS, artis itu tetap memuatkan penampilan imej barunya di laman sosial tetapi apabila diminta mengulas mengenai imej barunya itu, dia terus membisu atau menyerahkan kepada peminat untuk membuat andaian sendiri.

Lebih teruk lagi, kata rakan SS, artis itu seolah-olah bermain teka-teki dengan pihak media dan peminat pula mengenai imej barunya itu.

Kata rakan SS, sikap artis itu yang berdolak-dalik turut membuat pihak media meluat kerana dia seolah-olah ingin menyembunyikan perubahan imej barunya itu daripada pengetahuan ramai.

Bagi SS pula, mungkin artis itu belum bersedia untuk mendedahkan imej barunya ataupun dia bertudung kerana terpaksa melakukannya atau sekadar mengikut trend.

Walau apapun, SS harap artis itu perlulah berterus terang mengenai imej barunya itu kerana ia untuk mengelakkan orang membuat pelbagai andaian buruk terhadapnya.

Tidak salah dia membuat pengakuan mengenai imej barunya itu kerana ia perkara yang baik dan boleh menjadi contoh kepada peminatnya.

SS: Tidak suka menilai orang dari segi luaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 11:43 AM