Hazril Md Nor

Clash of Clans antara permainan mudah alih yang digemari anak muda serata dunia. HAZRIL MD NOR yakin Clash Royale juga mampu menawan hati sesiapa saja yang dahagakan kelainan.

Kasual, santai dan mudah difahami. Itu antara ciri utama permainan mudah alih di peranti pintar yang berjaya mencuri populariti permainan video di pelantar konsol atau PC.

Buktinya, Clash Royale keluaran Supercell berjaya mencipta fenomena dan menempa populariti dalam masa singkat. Formulanya mudah. Tampilkan karakter dari Clash of Clans (COC) dan terapkan elemen Real Time Strategy (RTS) di dalamnya. Hasilnya cukup mengagumkan dengan rekod lebih lima juta muat turun di Android dalam masa kurang sebulan.

Konsep unik

Clash Royale berada dalam liga tersendiri, anda tidaklah kelihatan sedang bermain dua ‘game’ yang serupa konsepnya. Berpaksi pada kombinasi RTS dan ‘tower defense’, anda memiliki dua menara pertahanan dan raja di tengah.

Selain itu, anda dikurniakan barisan kad serangan dan pertahanan yang memerlukan sumber ‘elixir’ untuk aktifkan. Lebih banyak ‘elixir’ maka lebih kuat kad anda. Sumber berwarna merah jambu ini perlahan-lahan memenuhi bar dan gunakan sebaik-baiknya untuk musnahkan setiap menara itu.

Perbezaan ketara antara COC dan Clash Royale ialah teknik perlawanan. Jika sebelum ini anda berlawan dengan kecerdasan buatan (AI), kali ini ia lebih mencabar. Berlawan dengan pemain lain secara langsung mengajar anda untuk merancang strategi dengan kadar segera.

Menariknya, setiap unit yang dipanggil mempunyai kelebihan tersendiri. Sebagai contoh, ‘mini pekka’ lebih efektif menghancurkan menara dan kuat menentang ‘giant’. ‘Witch’ pula lebih berkuasa di posisi belakang dengan tentera tengkorak di bawah penguasaannya.

Kumpul kad

Setiap kemusnahan menara akan mengurniakan anda satu mahkota dan kemenangan diraih apabila Raja dijatuhkan ataupun mengikut perbezaan jumlah menara. Jika anda menang, mata diberikan dan akan melayakkan anda ke arena lebih tinggi.

Paling menarik, anda dikurniakan harta karun yang mengandungi kad dan duit yang boleh digunakan untuk naik taraf kad. Namun, setiap harta karun mempunyai masa tertentu untuk dibuka.

Ini pastinya menimbulkan kekecewaan kepada pemain yang tegar. Jika anda bermain dengan kerap dan menang, kemungkinan anda akan bertemu pemain dengan kad lebih kuat. Justeru, anda perlu menunggu harta karun terbuka untuk kad lebih berkuasa ataupun terpaksa gunakan ‘gem’ untuk mempercepatkan proses.

Secara keseluruhannya, Clash Royale sesuai dimainkan pada waktu lapang dan ia menjanjikan keseronokan segera kepada sesiapa saja. Bagi peminat COC, anda pastinya teruja dengan keluaran ini dan penulis yakin Clash Royale akan memberikan kepuasan yang serupa dengan konsep berbeza.

Tip bermain Clash Royale

1. Tunggu jika perlu

Dalam perlawanan, tiada istilah ‘siapa cepat dia menang’. Justeru, rancang penggunaan unit terlebih dulu sebelum menggunakan mereka. Adakalanya pihak lawan akan memulakan langkah dulu dan ini memberikan kelebihan kepada anda untuk menentangnya.

2. Jangan takut diserang

Tekniknya mudah. Jika anda menjatuhkan Raja pihak lawan, kemenangan berpihak kepada anda. Justeru, jika pemain lawan menyerang anda secara bertubi-tubi ke arah menara pertahanan, ambil kesempatan ini untuk menyerang terus ke arah Raja.

3. Mahir guna kad

Clash Royale penuh dengan taktikal dan strategi. Gunakan sumber dengan lebih bijak iaitu meletakkan unit yang kuat di depan dan unit serangan jauh di belakang. Sebaik saja anda memahami kekuatan dan kelemahan setiap kad, lebih mudah untuk mahir dalam permainan ini.

4. Perhatikan masa

Masa adalah segala-galanya dalam Clash Royale. Sebaik saja masa tinggal 60 saat, pengeluaran ‘elixir’ adalah dua kali ganda lebih pantas. Gunakan kelebihan ini untuk memanggil semua unit ke medan pertarungan.

5.Naik taraf apabila perlu

Setiap dek kad mempunyai lapan unit. Naik taraf unit yang sesuai dengan strategi anda. Jika perlu, naik taraf kad yang lebih berkuasa terlebih dulu untuk kekuatan maksimum.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 8:00 AM