NUR Farah Kartini Abdullah. FOTO ihsan Polis
NUR Farah Kartini Abdullah. FOTO ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: "Arwah sangat baik dan tidak suka bercerita buruk mengenai orang.

"Apabila orang buat cerita dan buka aib dia, saya tak boleh terima," kata Muhammad Haziq Fardil, 25, mengenai Nur Farah Kartini Abdullah yang ditemukan mati dipercayai dibunuh di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, semalam.

Beliau berkata demikian susulan pelbagai spekulasi dan fitnah yang dilemparkan oleh netizen terhadap arwah sahabatnya itu di media sosial.

Dia turut memuat naik video penjelasannya mengenai Nur Farah di akaun TikTok miliknya, semalam.

Pekerja swasta itu berkata, Nur Farah yang berusia 25 tahun adalah rakan baik dikenalinya ketika menuntut dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Multimedia di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim pada 2019.

Menurutnya, perkenalan awal mereka itu membawa kepada persahabatan kekal sehingga kini berikutan sikap Nur Farah yang peramah dan ceria.

"Saya bersama arwah dan beberapa rakan lain memang rapat kerana kami satu kelas, selain kerap keluar bersama sepanjang tempoh pengajian itu.

"Arwah sangat rajin dan aktif dalam persatuan di universiti serta sering membantu dalam pelbagai program yang diadakan oleh pihak pengurusan UPSI.

"Malah, dia sanggup mengorbankan cuti semester untuk menyertai Rakan Suai Kenal (RSK) yang ditubuhkan bagi membantu kemasukan penuntut baharu," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Selain itu, katanya, Nur Farah yang berasal dari Miri, Sarawak juga rajin melakukan kerja sambilan bagi menampung kos pengajian dan menampung kehidupannya.

Muhammad Haziq berkata, kali terakhir dia berhubung dengan Nur Farah kira-kira sebulan lalu apabila gadis itu mengajaknya menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka di Kelantan.

"Saya tidak dapat ikut serta kerana ada urusan lain. Itulah pertemuan terakhir arwah bersama rakan-rakan sebelum kami dikejutkan dengan berita kehilangan serta kematiannya.

"Ia amat memberi kesan kepada kami. Jadi saya menasihati orang ramai supaya tidak membuat cerita yang pastinya mengguris hati orang tersayang.

"Tolong jaga percakapan kerana ia ibarat pisau yang menyakitkan orang tersayang terutama keluarga," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan ditemukan mati dipercayai dibunuh individu dikenalinya.

Polis turut menahan seorang lelaki yang juga anggota polis bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayatnya.

Suspek sudah berkhidmat lima tahun dalam PDRM

UPSI sedia bantu urus jenazah Nur Farah Kartini

Kronologi kes bunuh Nur Farah Kartini

Suspek kes bunuh Nur Farah Kartini seorang anggota polis

Kampung gempar selepas penemuan mayat

Penjawat awam direman 7 hari

Polis sahkan suspek adalah teman lelaki

'Sebak, tapi saya kena teruskan baca berita juga'

Penjawat awam ditahan bantu siasatan pembunuhan Nur Farah Kartini

Mayat Nur Farah Kartini ditemukan, dipercayai dibunuh

'Pulanglah, semua orang tunggu Farah...'

Polis mohon bantuan kesan Nur Farah Kartini

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 2:11 PM