AARON (kanan) dan Wooi Yik diundi dalam Kumpulan A di Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
AARON (kanan) dan Wooi Yik diundi dalam Kumpulan A di Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ternyata lega apabila terselamat daripada diundi dalam kumpulan maut dan hanya perlu berdepan pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang di peringkat awal Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut Aaron, dia lega apabila terlepas daripada 'kumpulan maut' iaitu Kumpulan D yang dibarisi juara bertahan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin, Kim Astrup-Anders-Skaarup Rasmussen (Denmark), Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun), Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi (China) dan Vinson Chiu-Joshua Yuan (Amerika Syarikat).

"Saya rasa undian kali ini OK untuk kami apabila berada dalam Kumpulan A berbanding Kumpulan D yang saya rasa lebih sukar.

"Sekarang, kami hanya fokus melakukan persiapan dalam fasa terakhir latihan sebelum Paris 2024 bermula," kata Aaron yang kini berada di Kompleks Sukan Aire Sur La Lys, utara Perancis, tempat latihan fasa akhir skuad badminton negara sebelum temasya itu membuka tirai secara rasminya pada 26 Julai ini.

Selain pasangan nombor satu dunia, Aaron-Wooi Yik turut diundi bersama Ben Lane-Sean Vendy dari Great Britain dan gandingan Kanada, Dong Adam-Nyl Yakura dalam Kumpulan A.

Bagaimanapun, Wei Keng-Wang Chang dijangka menjadi ancaman terbesar buat Aaron-Wooi Yik dalam perebutan gelaran juara kumpulan.

Walaupun hanya menang dua daripada lapan pertemuan menentang Wei Keng-Wang Chang sebelum ini, Aaron-Wooi Yik berjaya mengatasi lawan itu ketika pertemuan terakhir mereka pada saingan Piala Thomas di Chengdu, China, Mei lalu.

Hanya juara dan naib juara kumpulan layak ke peringkat suku akhir.

Sementara itu, Wooi Yik berkata, selepas majlis undian selesai semalam, fokus dia dan Aaron kini lebih jelas ketika berbaki 10 hari sebelum temasya terbesar dunia itu bermula.

Disebabkan kesilapan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam pengiraan mata ranking, undian bagi acara beregu lelaki yang sepatutnya berlangsung serentak dengan kategori lain pada Jumaat lalu terpaksa ditangguhkan.

Selepas keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), acara beregu lelaki di Paris akan menyaksikan 17 pasangan bersaing di temasya itu termasuk kemasukan saat akhir beregu tuan rumah, Lucas Corvee-Ronan Labar.

"Sekarang sudah dapat melihat undian, saya rasa fokus kami lebih jelas, lebih mudah untuk melakukan persiapan dalam tempoh seminggu latihan akhir di Perancis ini.

"Saya dan Aaron akan lebih fokus kepada lawan yang akan temui. Buat masa ini, kami aku melakukan sehabis baik dan menikmati sesi latihan kami di sini," kata Wooi Yik yang menghuni ranking kelima dunia bersama Aaron.

Dalam pada itu, Aaron menganggap pemilihan lokasi latihan fasa akhir skuad badminton negara di Kompleks Sukan Aire Sur La Lys adalah tepat kerana bebas daripada kesibukan dan tidak diganggu orang awam.

"Latihan hari pertama agak bagus kerana tidak ramai orang di sini, kami boleh fokus kerana agak sunyi.

"Saya berasa hanya kita (kem badminton Malaysia) berlatih di sini dan kami boleh lebih fokus," katanya.

Saingan badminton di Paris 2024 akan berlangsung di Porte de la Chapelle Arena bermula 27 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 1:48 PM