FUZIAH. FOTO Arkib BERNAMA
FUZIAH. FOTO Arkib BERNAMA
Suzalina Halid

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan tidak wajar untuk menyatakan penyasaran subsidi diesel menjadi penyebab utama peningkatan kos sara hidup.

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata, ini kerana adanya faktor lain yang turut menyumbang kepada kenaikan berkenaan.

Memberi contoh kenaikan harga sayuran yang ketara pada Jun lalu, beliau berkata, ia disebabkan keadaan cuaca tidak menentu, manakala harga ayam bersih standard stabil di paras harga munasabah, bulan lalu berbanding Julai ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan KPDN merekodkan dua sub kategori barangan mengalami peningkatan harga iaitu daging dan sayur-sayuran dengan julat peratus kenaikan antara 0.24 hingga 53.6 peratus, bulan ini.

Berdasarkan semakan data harga sebulan selepas rasionalisasi diesel dilaksanakan, katanya, KPDN juga mendapati peratus peningkatan tertinggi direkodkan bagi tomato sebanyak 53.6 peratus dan cili merah kulai pula 17.4 peratus.

"Terdapat juga barang mencatat penurunan harga selepas sebulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel sebagai contoh kategori barangan seperti bawang dan telur ayam.

"Justeru jika ingin menyatakan kos sara hidup meningkat disebabkan penyasaran subsidi diesel sahaja adalah tidak wajar," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai impak rasionalisasi subsidi diesel terhadap harga barangan dan peningkatan kos sara hidup rakyat, selain kesan peningkatan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta kenaikan tarif elektrik serta air.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, KPDN menumpukan kepada strategi penting ia memberikan penekanan kepada aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sewenang-wenangnya.

"Pelbagai operasi sudah dan sedang dilaksanakan seperti Ops Catut, Ops Terjah, Ops Tiris, Ops Menu, Ops Pasar dan Ops Samar bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan mengekang elemen pencatutan di pasaran.

"KPDN juga akan terus meningkatkan aktiviti penguatkuasaan dalam aspek mengekang gejala anti persaingan dalam pasaran.

"Ia membabitkan elemen kartel dalam bentuk pakatan harga, pakatan pasaran dan pengeluaran serta tipuan bidaan yang mempengaruhi harga barang dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 2:18 PM