TANGKAP layar video tular memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai warga asing yang bekerja di tapak pembinaan dekat Sedenak bergaduh sesama mereka.
TANGKAP layar video tular memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai warga asing yang bekerja di tapak pembinaan dekat Sedenak bergaduh sesama mereka.
Izz Laily Hussein

Kulai: Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki dipercayai warga asing yang terbabit dalam insiden pergaduhan di tapak pembinaan dalam kawasan Sedenak di sini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 28 saat yang tular dalam aplikasi X itu pada jam 4.30 petang semalam memaparkan beberapa individu sedang bergaduh di tapak pembinaan.

"Kejadian dipercayai berlaku di kawasan tapak pembinaan di Sedenak, Kulai. Semakan oleh pihak polis mendapati tiada laporan polis dibuat berkaitan kejadian berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan," katanya tadi.

Beliau turut meminta pemilik asal video berkenaan atau mana-mana saksi awam untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di talian 07-6632222 bagi membantu siasatan.

Menerusi video yang tular itu, sekumpulan lelaki dipercayai warga asing yang bekerja di tapak pembinaan terbabit dilihat bergaduh sesama mereka.

Dipercayai, pergaduhan membabitkan dua kumpulan kira-kira 30 orang dengan kelihatan mereka menggunakan senjata seperti kayu dan batu serta topi keselamatan.

Turut dipaparkan insiden mengejar sambil memukul pihak lawan dalam video berkenaan dan disaksikan pekerja yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 1:41 PM