KESEBELASAN utama Manchester United pada perlawanan pramusim dengan Rosenborg, awal pagi tadi. FOTO MANUTD.COM
KESEBELASAN utama Manchester United pada perlawanan pramusim dengan Rosenborg, awal pagi tadi. FOTO MANUTD.COM
Agensi

London: Erik ten Hag berang dengan pemain Manchester United selepas mereka tewas kepada Rosenborg pada aksi pramusim, awal pagi tadi, sekali gus mengingatkan pemain mudahnya betapa mereka jauh daripada tahap dikehendakinya.

United tumpas 0-1 di Trondheim menerusi percubaan terakhir perlawanan itu dengan menampilkan skuad paling muda di Norway.

Ketika ramai tonggak utama masih bercuti susulan pembabitan mereka pada Euro 2024 dan Copa America, pemain seperti Mason Mount, Marcus Rashford dan Casemiro beraksi, tetapi persembahan sepasukan mencetus kemarahan pengurus itu.

"Keputusannya bukan yang kedua dan sudah tentu kami bermain pramusim, tetapi di Manchester United ada standard anda memenangi perlawanan, bukannya kalah," katanya kepada MUTV.

"Jika anda tidak boleh memenangi perlawanan, jangan kalah seperti kami lakukan iaitu pada saat terakhir permainan. Sudah tentu persembahan lebih penting, tetapi ia jauh di bawah tahap sebenar.

"Kami boleh bercakap segala-galanya bagus mengenai apa yang teruk, tetapi saya bukanlah orangnya.

"Ini bukan tahap permainan bagi bola sepak peringkat tertinggi. Anda perlu meraih tahap lebih tinggi dan ia bermula dengan setiap individu memastikan anda cergas.

"Saya sedar anda tidak boleh cukup cergas bagi perlawanan pada ketika ini dan anda memerlukan perlawanan sebegini. Saya tahu kami bermain menentang lawan dalam liga mereka yang mempunyai tahap kecergasan lebih tinggi.

"Tetapi, kami adalah Manchester United dan pemain dari Manchester United, satu pasukan dari Manchester United, patut bertindak lebih bagus," katanya.

Beberapa pemain pasukan utama United mendapat minit permainan pada babak pertama dengan Casemiro terbabit dalam satu insiden terjahan keras ke atas lawan yang ramai berasakan patut dilayangkan kad merah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 2:05 PM