KENDERAAN tentera Israel di sempadan Gaza. FOTO AFP
KENDERAAN tentera Israel di sempadan Gaza. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Pihak Berkuasa Palestin (PA) menuduh Israel sengaja membalas dendam dengan melakukan penganiayaan terhadap tahanan Palestin, sejak bermulanya perang 7 Oktober lalu.

Semua tuduhan mengenai dakwaan penganiayaan termasuk penyeksaan, rogol dan penderaan seksual lain di penjara, dinafikan pihak berkuasa Israel.

Ketua Pihak Berkuasa Hal Ehwal Tahanan PA, Qadura Fares berkata, Israel melancarkan 'perang membalas dendam' terhadap tahanan penjara dan pusat tahanan sejak hari pertama keputusannya untuk berperang di Gaza.

"Tahanan Palestin dilayan sebagai tebusan dan penganiayaan itu adalah sebahagian daripada tekanan (kepada Hamas untuk mengalah)," katanya pada sidang akhbar di Ramallah, Tebing Barat.

Peguam pihak berkuasa, Khaled Mahajna pula mengecam penderaan yang diberitahu ketika beliau melawat wartawan Gaza yang ditahan, Mohammed Arab dan Tariq Abed di pusat tahanan Ofer dekat Ramallah.

Dia diberitahu bagaimana pengawal memaksa seorang tahanan untuk berbaring dalam keadaan bogel dan kemudian tiub pemadam api dimasukkan ke dalam punggung dan alat pemadam api dihidupkan.

"Saya juga diberitahu tahanan lain dipasangkan prod elektrik pada badan mereka.

"Tahanan digari ketika mereka makan dan makanan itu terdiri daripada 100 gram roti atau tomato dengan sedikit susu," katanya

Mahajna memetik Mohammed Arab sebagai berkata, dia melihat seorang tahanan yang digari mati selepas dipukul kerana menuntut rawatan perubatan.

Katanya, kira-kira 100 tahanan mempunyai penyakit dan luka yang sangat memerlukan rawatan.

"Beberapa tangan tahanan juga diikat sebelum anjing dilepaskan," katanya.

Dalam pada itu, Persatuan Tahanan Palestin merekodkan, kira-kira 9,600 warga Palestin berada di penjara Israel

Ia termasuk ratusan orang di bawah tahanan pentadbiran yang membolehkan tentera menahan mereka untuk tempoh yang lama tanpa didakwa atau dibawa ke mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 1:49 PM