FISOL (dua kanan) menunjukkan pistol yang di rampas bersama peluru dan dadah di IPD Kotar Setar. FOTO Wan Nabil Nasir
FISOL (dua kanan) menunjukkan pistol yang di rampas bersama peluru dan dadah di IPD Kotar Setar. FOTO Wan Nabil Nasir
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Dua pistol dan 48 peluru serta dadah bernilai RM148,000 dirampas selepas polis menahan dua lelaki termasuk warga emas yang disyaki pengedar di Taman Lam Foong di sini, kelmarin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dalam tangkapan pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 52 tahun dalam kawasan taman perumahan itu sekitar jam 6.30 petang.

"Hasil pemeriksaan terhadap tubuh suspek menemukan dua pistol bersama 48 peluru dalam poket seluarnya.

"Hasil tangkapan pertama itu, polis kemudian melakukan serbuan di salah sebuah rumah dalam taman perumahan itu dan menahan seorang lagi lelaki berusia 65 tahun di situ," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini, hari ini.

Fisol berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan di rumah itu menemukan tiga jenis dadah iaitu 62 peket plastik berisi ketamin seberat 1.3 kilogram (kg), 40 pembalut aluminium berisi pil eramin 5 seberat 113 gram dan 76 peket plastik berisi ekstasi seberat 989 gram.

Beliau berkata, selain itu, polis turut menyita sebuah kereta jenis Audi A4 dan sebuah televisyen yang dipercayai diperolehi daripada kegiatan mengedar dadah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek pertama yang memiliki tujuh rekod lampau termasuk berkaitan dadah dan jenayah, positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek kedua yang tidak memiliki rekod jenayah negatif dadah," katanya.

Fisol berkata, polis masih menyiasat sama ada kedua-dua suspek memainkan peranan dalam kumpulan jenayah tertentu.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari hingga 21 Julai depan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 2:10 PM