Azizi (kiri) pada sidang media selepas majlis serah tugas di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak hari ini. FOTO L Manimaran
Azizi (kiri) pada sidang media selepas majlis serah tugas di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak hari ini. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Suspek yang ditahan berhubung kehilangan wanita yang dijumpai mati di Felda Gedangsa, Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor, semalam sudah berkhidmat selama lima tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata suspek berusia 26 tahun itu adalah anggota berpangkat Lans Koperal di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim.

Azizi berkata, kes ini yang pada mulanya disiasat oleh Kontinjen Perak di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP) Orang Hilang, kini diserahkan kepada Polis Kontinjen Selangor.

"Saya sahkan subjek yang melakukan kes ini adalah seorang anggota dari Balai Polis Slim River.

"Dan beliau (subjek) sudah menunjukkan tempat lokasi kejadian (penemuan mayat).

"Apabila disemak tempat berlaku kejadian di negeri Selangor, jadi kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibuka oleh Kontinjen Selangor," katanya.

Azizi berkata demikian kepada pemberita selepas sesi majlis mengambil alih tugas Ketua Polis Perak daripada Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di sini hari ini

Mohd Yusri kini diamanahkan sebagai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Azizi dalam pada itu memuji tindakan Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir yang disifatkan proaktif dalam tindakan terhadap KEP Orang Hilang membabitkan wanita itu termasuk membuat hebahan mencari orang hilang di media massa dan media sosial.

"Saya amat bangga dengan tindakan diambil oleh Ketua Polis Daerah Muallim yang mana apabila terdapat (laporan) kehilangan 'on the spot' menguar-uarkannya melalui media massa dan media sosial.

"Tindakan diambil oleh beliau berkesan dan siasatan juga terus dijalankan sehingga suspek dapat dikesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 1:41 PM