WAKIL pengurusan jawatankuasa universiti yang hadir di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh bagi membantu pengurusan penghantaran jenazah Nur Farah Kartini. FOTO Genes Gulitah
WAKIL pengurusan jawatankuasa universiti yang hadir di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh bagi membantu pengurusan penghantaran jenazah Nur Farah Kartini. FOTO Genes Gulitah
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Sungai Buloh: Badan pengurusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersedia membantu urusan membawa pulang jenazah Nur Farah Kartini Abdullah ke kampung halamannya di Miri, Sarawak.

Wakil UPSI yang enggan dikenali berkata, pihak pengurusan juga akan menampung kos penghantaran pulang jenazah arwah.

"Bagaimanapun, kita masih menunggu keputusan daripada pihak waris sama ada jenazah akan dikebumikan di sini atau di Sarawak," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Nur Farah Kartini, 25, bekas penuntut cemerlang UPSI dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0, ditemui meninggal dunia dipercayai dibunuh, semalam.

Mayatnya ditemukan kira-kira 6 petang di ladang sawit di Hulu Selangor, dengan polis kemudian menahan teman lelaki mangsa untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, Nur Farah Kartini dilapor hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 1:37 PM