LATIH makhluk ganas dalam dunia fantasi dan bertanding bersama pemain lain.
LATIH makhluk ganas dalam dunia fantasi dan bertanding bersama pemain lain.
Oleh Hazril Md. Nor

HAZRIL MD NOR kagum dengan permainan berkonsepkan dunia fantasi dipenuhi raksasa purba kerana ia dicampurkan elemen daripada filem asal.

Selain berfungsi sebagai hiburan segera, permainan mudah alih di telefon pintar juga terkenal dengan mekanisme tersendiri, sekali gus melayakkan statusnya dinilai lain daripada permainan konsol atau PC.

Oleh kerana diterbitkan di pelantar berbeza, ia semestinya dibangunkan dengan perancangan teliti demi bertanding dalam dunia permainan mudah alih yang penuh dengan persaingan. Clash of Clans ( COC) antara permainan mudah alih yang berjaya meraih perhatian anak muda dan golongan lebih tua berikutan ciri-cirinya yang menekankan konsep serangan dan pertahanan.

Difahamkan, konsep sedemikian mula mendapat perhatian dan digunakan secara meluas mulai tahun lalu. Ludia Inc antara pembangun terkemuka yang mempelopori permainan mudah alih bertemakan serangan dan pertahanan.

Bezanya daripada syarikat Supercell yang memperkenalkan COC, Ludia lebih terarah kepada proses adaptasi filem kepada permainan mudah alih. Sebagai contoh, Dragons: Rise of Berk dan Jurassic Park mengutarakan konsep membangunkan empayar dan disuntik elemen asal daripada filem dan animasi.

Rise of Berk

Permainan ini sangat seronok dimainkan kerana ia membawa pemain ke dalam dunia tamadun Vikings di mana manusia hidup bersama haiwan fantasi seperti naga. Konsepnya pula mudah difahami dan mesra pengguna, malah jika anda pernah menonton animasi ini pastinya ia mampu menawan perhatian anda dengan segera.

Walaupun ia mempunyai persamaan dengan permainan mudah alih lain, tetapi Rise of Berk berada dalam liga tersendiri di mana anda perlu mengumpul naga dan melatihnya. Permainan ini juga tidak menggunakan sistem percampuran baka, namun setiap naga direka berpandukan model asal dalam animasi.

Sistem mod perlawanan membenarkan naga anda mempertahankan bandar Viking daripada diserang lanun. Namun, ia boleh dikategorikan sebagai mod perulangan dengan kekuatan lanun yang berbeza pada setiap peringkat.

Kebarangkalian untuk mendapatkan naga yang baru juga agak sukar memandangkan anda perlu melabur wang jika tidak mahu dikeceawakan. Malahan, naga yang paling sukar ditemui mempunyai peratusan paling kecil untuk dijumpai.

Jurassic Park

Sempena filem Jurassic World, Ludia juga membangunkan sebuah permainan dengan konsep dinosaur. Lebih kurang sama dengan Rise of Berk, ia memaparkan dinosaur yang terdapat dalam filem untuk dipertandingkan dengan pihak lawan.

Menariknya, taman tema anda dipenuhi landskap indah sesuai dengan konsepnya dalam filem. Sebanyak 50 jenis dinosaur boleh dikumpul dan mengalami evolusi apabila mencapai tempoh tertentu. Jika anda inginkan dinosaur lebih hebat, ia boleh didapati dalam pek kad.

Permainan ini sebenarnya seronok apabila tiba bab perlawanan antara dinosaur. Anda boleh menggunakan dinosaur yang dilatih dalam perlawanan tiga lawan tiga. Semakin kuat raksasa anda, semakin mudah untuk menang. Keseluruhannya, ia permainan yang sesuai pada waktu lapang dan wajar dicuba.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 1:01 PM