Hazril Md Nor

Supercell sebelum ini dikenali dengan permainan popular di peranti pintar antaranya Boom Beach, Clash of Clans dan Clash Royale. Kali ini, mereka seperti tak ‚duduk diam‘ dan terus menyajikan peminat permainan baru pula.

Dinamakan Brawl Stars, ia menggunakan konsep perlawanan mempertahankan atau mendapatkan objektif. Pemain perlu berganding bahu dengan rakan ataupun pemain lain dari seluruh dunia dalam mod tiga lawan tiga, mod objektif dan mod seakan-akan Battle Royale.

Paling menarik, Brawl Stars bukanlah ‘pay2win’ bermakna pemain boleh menikmati permainan ini tanpa unsur tak adil atau berat sebelah daripada pemain yang aktif menggunakan transaksi mikro.

Pelbagai mod

• Gem Grab - Mod tiga lawan tiga ini sangat kompetitif dan mencabar pemain untuk terus hidup sementara mengumpul berlian yang muncul dalam peta. Pasukan yang berjaya hidup selepas mengumpul 10 berlian dalam masa 15 saat dikira pemenang.

• Showdown (Battle Royale) - Pemain ditempatkan dalam peta yang makin mengecil disebabkan asap beracun. Mereka perlu mengumpul sumber tenaga dari kotak dan menewaskan pemain lain untuk menambah kekuatan karakter. Mereka yang terselamat dalam perlawanan 10 orang ini dikira pemenang.

• Heist - Pemain perlu berganding bahu dalam perlawanan tiga lawan tiga untuk melindungi peti besi yang menjadi punca nyawa mereka. Jika peti pihak lawan dihancurkan terlebih dulu, dikira pemenang dan sebaliknya.

Pelbagai brawler

Terdapat ramai pahlawan yang boleh ditemui dalam permainan ini. Setiap satunya mempunyai kuasa dan keunikan tersendiri. Mereka terbahagi kepada penyembuh (healer), penembak (shooter), tank (pembantu) dan pembunuh hendap (assassin).

Pada mulanya anda akan bermain sebagai Shelly dan kemudian memperoleh banyak lagi ‘brawler’ selepas menaikkan ranking trofi anda. Lebih menarik, pemain boleh melihat jenis ganjaran diberikan pada trofi tertentu.

Karakter ini juga boleh dinaik taraf menjadikan mereka lebih kuat dan bertahan lebih lama dalam perlawanan.

Kawan dan band

Anda sentiasa terbuka untuk mengajak kawan main bersama. Hanya dengan menekan butang ‘new game room’, boleh mengajak sehingga 2 pemain untuk berperang bersama.

Kalau anda menyertai mana-mana ‘band’, lebih mudah untuk mencari kenalan baru ataupun tubuhkan ‘band’ sendiri bersama kawan rapat anda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 8:28 AM