Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Kim Pan-gon sah meletakkan jawatan selaku pengendali skuad Harimau Malaya selepas dua tahun empat bulan membimbing pasukan negara.

Keputusan meninggalkan pasukan diambil jurulatih dari Korea Selatan itu atas sebab peribadi.

Ujar Pan-gon, sepanjang tempoh berkenaan sudah banyak kejayaan dikecapi dan beliau mengakui puas membawa pasukan negara dengan melakar pelbagai kejayaan.

"Hari ini saya ingin berkongsi dengan semua keputusan saya. Hari ini saya buat keputusan untuk meletak jawatan selaku jurulatih pasukan Malaysia atas sebab peribadi.

"Saya mohon maaf di atas keputusan ini. Sejak saya datang pada Februari 2022 untuk dua setengah tahun, semua peminat beri sokongan yang baik.

"Kita berkongsi kegembiraan layak ke Piala Asia buat pertama kali. Malah ranking negara juga melonjak tinggi.

"Keputusan seri dengan Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan di Piala Asia 2022 cukup membanggakan," katanya pada sidang media, hari ini.

KIM Pan Gon mengumumkan perletakan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Negara pada sidang media khas di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). FOTO BERNAMA
KIM Pan Gon mengumumkan perletakan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Negara pada sidang media khas di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). FOTO BERNAMA

Kejayaan paling membanggakan sudah tentunya layak ke Piala Asia 2022 di Qatar, Januari lalu selepas 43 tahun Malaysia gagal beraksi di pentas tertinggi tertinggi Asia itu.

Malah, kedudukan ranking pasukan negara meningkat daripada 154 dunia melonjak hingga 130 pada hujung tahun lalu.

Ujar Pan-gon lagi, keputusan meninggalkan pasukan dicapai pada Sabtu lalu selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Sebelum ini khabar mengenai saya letak jawatan pada Mac lalu adalah palsu. Tetapi selepas aksi dengan Taiwan (Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil) pada Jun lalu, saya bertemu Presiden.

"Saya bagi tahu kepadanya tentang keputusan saya, tiada apa yang tersembunyi. Saya jujur dan terbuka berbincang dengannya.

"Sebab utama mengapa keputusan ini, saya tak dapat nak kongsikan. Sebab-sebab Presiden sahaja yang tahu dan beliau pastinya akan maklumkan kepada Exco FAM nanti.

"Terima kasih sekali lagi kepada semua pihak termasuk Kerajaan Malaysia dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh atas sokongan selama ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 2:16 PM