BISKUT beracun yang dimakan remaja  Kampung Air Puteh, Chukai pada Jumaat lalu. FOTO Arkib NSTP
BISKUT beracun yang dimakan remaja Kampung Air Puteh, Chukai pada Jumaat lalu. FOTO Arkib NSTP
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Jabatan Pertanian sedia bantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan kes seorang remaja pengsan selepas termakan biskut beracun di Kampung Air Puteh, Chukai pada Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Keterjaminan Makanan, Dr Azman Ibrahim berkata, kes keracunan itu membabitkan remaja berusia 15 tahun sedang disiasat polis.

Menurutnya, pihak polis boleh berhubung dengan Jabatan Pertanian bagi membantu siasatan termasuk mengenal pasti jenis racun yang dicampur pada biskut.

"Jabatan Pertanian negeri sentiasa dan akan memberi kerjasama jika diminta oleh PDRM," katanya.

Dalam kejadian itu, seorang remaja, Mohd Daynail Haikal dikatakan termakan biskut yang bercampur dengan racun dalam plastik di kebun pisang ketika dalam perjalanan untuk memancing pada 1.45 tengah hari Jumaat lalu.

Berikutan kejadian itu, Mohd Daynail Haikal terpaksa dikejarkan ke Klinik Kesihatan (KK) Air Puteh sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman (HK) untuk rawatan lanjut.

Susulan kejadian itu, polis memanggil seorang pekebun berusia dalam lingkungan 70-an, untuk diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, pada 2 petang semalam.

Mengulas lanjut, Dr Azman meminta pekebun dapat menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi membantu memasang perangkap monyet atau haiwan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 2:02 PM