ADLY Zahari pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen. FOTO BERNAMA
ADLY Zahari pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen. FOTO BERNAMA
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan (Mindef) mengesahkan akan mengenakan denda terhadap Syarikat Aerotree Defence & Services Sdn Bhd (ADSSB) kerana gagal membekalkan helikopter Black Hawk UH-60A mengikut waktu yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ia kerana tuntutan lanjutan masa sudah diberikan kepada syarikat berkenaan.

Adly berkata, pihak ADSSB juga turut sudah memohon tuntutan lanjutan masa kedua kepada pihak kementerian.

"Memang syarikat ini ada memohon tuntutan lanjutan masa kali kedua.

"Tetapi kita dalam proses penilaian kerana justifikasi kita memberikan tuntutan lanjutan masa adalah berdasarkan kepada penilaian teknikal dan alasan yang diberikan oleh pihak syarikat itu sendiri.

"Dalam konteks ini, denda lewat sudah pasti akan kita kenakan kepada syarikat walaupun tuntutan lanjutan masa kali kedua diberikan.

"Ini kerana kita mengambil kira faktor masa sekiranya kita tahu kesan daripada tender semula itu akan memberikan kesan jangka masa panjang yang lebih sukar terutamanya bagi pasukan udara tentera darat (PUTD)," katanya semasa sesi bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang menyatakan satu kerugian jika tentera darat mahu membatalkan atau menggantikan helikopter Black Hawk UH-60A itu dengan pesawat lain.

Dalam pada itu, Adly menjelaskan, ADSSB dipertanggungjawab untuk menghantar dua helikopter pada 30 Oktober 2023 dan dua lagi pada 30 Disember 2023.

Bagaimanapun katanya, syarikat memaklumkan kepada pihak kementerian bahawa terdapat beberapa kekangan dalam membuat penghantaran helikopter itu.

"Antara justifikasi yang diberikan adalah pertama, peperangan berlarutan di Ukraine telah menyebabkan gangguan rantaian bekalan.

"Dan proses kelulusan pihak pengawal selia Amerika Syarikat telah diperketatkan bagi pemodenan spesifikasi teknikal serta integrasi sistem avionik ke atas pesawat Black Hawk UH-60A," katanya.

Adly berkata, Kementerian Pertahanan amat memandang serius mengenai kelewatan itu.

"Ini kerana kita tahu di mana ia memberikan impak terhadap pengoperasian helikopter PUTD sebagaimana yang digariskan oleh kontrak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 2:32 PM