Oleh Asrol Awang


Kuantan: Persatuan Silat Negeri Pahang (PESAKA Pahang) menyasarkan empat pingat emas, tiga perak dan enam gangsa pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 di Sarawak, Julai depan.

Setiausahanya Datuk Osman Nok (kanan) berkata, pihaknya juga mahu mempertahankan gelaran johan keseluruhan dalam acara itu yang diraih pada lima edisi SUKMA sebelum ini, dengan terakhir di Perlis pada 2014.

Katanya, pencapaian gemilang itu mampu dicapai biarpun pesilat Pahang yang menyertai kejohanan dwitahunan itu adalah atlet baru.

“Setakat ini, seramai 32 pesilat, masing-masing 18 atlet silat olahraga dan 14 atlet silat seni sedang menjalani latihan intensif dalam usaha mencapai misi berkenaan.

“Pada SUKMA 2014 di Perlis, Pahang meraih empat emas, dua perak dan enam gangsa. Prestasi dan komitmen pesilat yang berusia antara 17 hingga 21 tahun diharap mampu mengharumkan nama Pahang,” katanya semalam.

Bagi memperkasakan skuad silat Pahang, Osman berkata, beberapa aksi persahabatan akan disertai skuad Pahang membabitkan lima persatuan silat iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Putrajaya, Johor, Terengganu dan Selangor, mulai 30 Januari ini.

Menurutnya, pada masa sama bandar raya Ho Chi Minh di Vietnam turut menjadi destinasi pilihan untuk memperkasakan skuad Pahang sebagai fasa terakhir latihan sebelum berangkat ke Kuching.

“Setakat ini, pencabar utama adalah pesilat dari Terengganu, Selangor dan tuan rumah sendiri, Sarawak. Saya harap semua pesilat bersedia dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 5:04 AM