PESILAT Sarawak giat menjalani latihan.
PESILAT Sarawak giat menjalani latihan.
myMetro

Kuching: Misi utama pesilat olahraga dan seni Pahang pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016 adalah untuk meraih juara keseluruhan buat kali keenam berturut-turut dan mengharapkan atlet baharu mampu menyerlah.

Menurut Setiausaha Agung PESAKA Pahang Datuk Osman Nok, kehadiran 32 pesilat di Sarawak kali ini diharap mampu mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu membawa pulang empat pingat emas.

“Kebanyakan adalah pesilat baharu tapi mereka sudah menjalani persiapan rapi sejak setahun lalu,” katanya.

Osman juga mengakui mempertahankan juara keseluruhan adalah misi utama mereka selepas mula meraih gelaran berkenaan sejak SUKMA Kedah 2006.

Pahang sebelum ini meraih empat emas, empat perak dan empat gangsa pada SUKMA Perlis dua tahun lalu.

“Sebenarnya ia satu cabaran besar kerana atlet ini masih baharu apatah lagi tuan rumah pasti menerima sokongan padu penyokong di laman sendiri.

“Bagaimanapun, berdasarkan latihan dan penyertaan pertandingan baik dalam ataupun di luar, saya yakin mereka dapat mempertahankan gelaran juara keseluruhan di Sarawak,” katanya.

Sebelum ini di SUKMA Kedah 2006, Pahang meraih lapan emas untuk muncul juara keseluruhan sukan tempur itu sebelum merekod lima emas di Terengganu dua tahun kemudian.

Pahang terus mempamerkan penguasaan apabila mengekalkan gelaran di Melaka dengan membawa pulang enam emas pada 2010 sebelum meraih 11 emas di laman sendiri pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 8:11 AM