PASUKAN silat Sukan Malaysia (Sukma) Pahang. FOTO/ ihsan PESAKA Pahang
PASUKAN silat Sukan Malaysia (Sukma) Pahang. FOTO/ ihsan PESAKA Pahang
Asrol Awang


TIADA pengecualian buat 56 pesilat Pahang menangguhkan sesi latihan biarpun tarikh baharu Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020 dijadualkan Mac tahun depan.

Sebaliknya, semua pesilat, masing-masing 36 pesilat olahraga dan 20 pesilat silat seni dipantau walaupun menjalani latihan di rumah masing-masing sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Setiausaha Persatuan Silat Negeri Pahang (PESAKA Pahang), Datuk Osman Nok berkata, pemantauan sesi latihan dilakukan oleh lima jurulatih, masing-masing tiga jurulatih silat olahraga dan dua jurulatih silat seni.

Katanya, pemantauan yang dilakukan ialah dengan menghubungi pesilat bagi mendapatkan maklumat dan aktiviti yang dilakukan mereka dalam mengekalkan kecergasan.

"Setakat ini, memang diakui prestasi pesilat sedikit menurun tetapi jurulatih akan memastikan pesilat tetap menjalani latihan setiap hari.

"Pada masa sama, pesilat sendiri perlu bertanggungjawab dan bersikap jujur walaupun tarikh baharu SUKMA Johor pada Mac tahun depan," katanya.

Sehubungan itu, Osman meminta semua pesilat dapat memberi komitmen tinggi dan kekal fokus dalam usaha mengekalkan prestasi.

"Keutamaan ketika ini ialah untuk menjaga kesihatan dan kekal berada di rumah jika tiada keperluan untuk memastikan tidak dijangkiti wabak Covid-19," katanya.

Untuk rekod SUKMA Perak 2018, skuad silat Pahang meraih enam pingat emas, dua perak dan tujuh gangsa.

Pada 23 April lalu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma memutuskan Sukma Johor dijadual berlangsung dari 6 hingga 14 Mac tahun depan.

Bagaimanapun, berdasarkan satu kenyataan dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu memaklumkan tarikh berkenaan akan sekali lagi dibincangkan mesyuarat sama pada Oktober nanti sekiranya ada perubahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 7:23 PM